Pengawal Keselamatan warga Malaysia dipenjara 15 tahun, 20 sebatan kerana merogol & mencabul dua wanita di Singapura



Mahkamah Tinggi Singapura menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 20 sebatan terhadap seorang pengawal keselamatan warga Malaysia yang mengaku bersalah di atas pertuduhan merogol, melakukan serangan seksual, menyebarkan gambar lucah dan mencabul dua wanita. 


Mengikut pertuduhan, tertuduh mengaku telah merogol mangsa pertama iaitu wanita Malaysia berusia 27 tahun yang pengsan selepas mabuk, secara berulang kali. 


Tertuduh berusia 24 tahun yang mengenali mangsa dari tempat kerja kemudian mengambil gambar dan dihantar kepada rakannya dengan mendakwa telah merogolnya sebanyak tiga kali. 


Akibat dari kejadian itu, mangsa mengalami trauma teruk dan terpaksa menerima rawatan di Institut Kesihatan Mental selama tiga bulan. 


Dalam kes kedua yang membabitkan seorang wanita tempatan berusia 39 tahun, tertuduh mengaku mencabul mangsa dengan mengambil videonya semasa mandi tanpa pengetahuan ketika menginap di rumah wanita itu. 


21 Jun 2020, tertuduh dan mangsa pertama melepak di tingkat bawah blok apartmen tertuduh sambil minum minuman keras. Sebaik saja mangsa tidak sedarkan diri akibat terlalu mabuk, tertuduh merakam enam video menggunakan telefon bimbit. 


Mangsa kemudian didukung ke kediaman tertuduh lalu dirogol dan diambil gambar untuk dihantar kepada rakannya. 


Sebaik saja tersedar, mangsa mendapati dirinya tanpa seurat benang di sebelah tertuduh. Dia kemudian meminta penjelasan mengenai apa yang telah berlaku. Tertuduh terus menunjukkan video dan gambarnya dirakam. 


Mangsa pada awalnya tidak membuat laporan polis kerana takut sehinggalah 21 Julai 2020, mangsa mengambil keputusan untuk menceritakan kejadian itu kepada rakannya yang terus menghubungi polis. Bertindak di atas maklumat itu, tertuduh telah ditahan. 


Dalam kes kedua pula, sebanyak 18 video dan 8 gambar mangsa kedua ditemui dalam telefon bimbit tertuduh yang diambil antara 27 November 2018 hingga 18 Disember 2019. 


Tertuduh mengaku merakam semua bahan itu dari bawah pintu tandas dan dihantar kepada rakannya yang sama. 


Sumber: Free Malaysia Today

No comments