(Video) Program TV babitkan 50 juri dihentikan sementara sehingga siasatan berhubung dakwaan pelanggaran SOP selesai


Trend peningkatan kes harian Covid-19 yang mendadak sejak beberapa bulan lalu memaksa kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat bagi membendung penularan virus berbahaya itu. 


Ini termasuk, hanya 12 orang sahaja yang dibenarkan menggunakan masjid di mana ia terhad kepada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja. 


Baru-baru ini, program realiti TV, All Together Now Malaysia (ATNM) pula muncul di kaca TV di mana program tersebut membabitkan 50 orang juri terdiri daripada selebriti yang dikumpulkan di satu tempat untuk menilai bakat baharu. 


Bagaimanapun, program tersebut dikecam teruk oleh netizen di media sosial yang membandingkan situasi itu dengan SOP dikenakan terhadap masjid cuma dibenarkan 12 orang jemaah sahaja. 


Berdasarkan gambar dan video viral, ada di antara 50 juri terbabit dilihat tidak mengamalkan penjarakan fizikal dengan bergerak ke tempat rakan selebriti, tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal 1 meter seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


MKN ARAH SIASAT PROGRAM TV LANGGAR SOP


Susulan viral berkenaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengarahkan program hiburan itu disiasat dan siasatan ke atas program tersebut akan dikendalikan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). 


"KKMM akan mengambil tindakan sewajarnya jika mereka mengenal pasti berlaku pelanggaran apa-apa SOP sepanjang rakaman program terbabit," kata Ketua Pengarah MKN, Datuk Mohd  Rabin Basir. 


ATNM DIHENTIKAN SEMENTARA


Susulan dari luahan ketidakpuasan hati netizen, pihak penerbit program berkenaan mengambil keputusan untuk menghentikan sementara program tersebut sehingga siasatan berkaitan dakwaan berlaku perlanggaran SOP itu selesai. 


Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Asro, Raqim Ahmad berkata, program itu dirakam di Putrajaya pada Mac lalu sebelum kerajaan melaksanakan PKP 3.0. 


"Krew penerbitan telah menjalankan ujian calitan COVID-19 ke atas semua yang mengambil bahagian sebelum rakaman bermula dan hanya mereka yang berstatus negatif sahaja dibenar meneruskan rakaman. 


"Set yang dibina telah mengambil kira penjarakan fizikal antara juri dan diletakkan penghadang lutsinar antara mereka," tambahnya. 



TETAP AMBIL TINDAKAN WALAUPUN DIRAKAM SEBELUM PKP 3.0


Datuk Mohd Rabin Basir berkata, walaupun rakaman program dibuat sebelum PKP 3.0, iaitu PKPP antara 3 Mac hingga 11 April lalu, tindakan masih boleh diambil meskipun rakaman program terbabit sudah selesai. 


"Rakaman rancangan ini dipercayai dibuat ketika arahan PKPP dikuatkuasakan sebelum ini. Tetapi tetap ada syarat perlu dipatuhi seperti pemakaian pelitup muka dan sebagainya. 


"Kalau ada pelanggaran, boleh diambil tindakan. Walaupun benda itu sudah berlaku tetapi ia timbul di media atau sebagainya, polis tetap akan siasat," katanya. 


Sumber: Astro Awani, Harian Metro, Facebook

No comments