Najis lembu 1 tan dicuri, polis lancar operasi besar-besaran buru suspek


Polis di India sedang melakukan operasi memburu secara besar-besaran susulan mendapat laporan sekumpulan perompak telah mencuri hampir satu tan tahi lembu dari sebuah kampung. 


Penduduk di Kampung Dhurena, Chhattisgarh membuat laporan polis pada minggu lalu setelah mendapati lebih dari 800 kilogram najis lembu hilang dari gudang mereka. 


Polis berkata, sekumpulan perompak terbabit melakukan perbuatan itu pada waktu malam dengan memecah masuk gudang simpanan dan melarikan kotoran lembu itu yang dianggarkan bernilai kira-kira 1.600 rupee (RM89.83).


"Kami telah menyoal siasat beberapa suspek, tetapi belum ada tangkapan," kata pegawai polis, Harish Tandekar pada Rabu. 


Harish juga tidak jelas bagaimana suspek berkemampuan mengangkut sejumlah besar najis lembu itu dan motif mereka mencurinya. Pihaknya memberi jaminan siasatan akan diteruskan dan berusaha mengesan suspek-suspek yang terlibat. 


Difahamkan, Chhattisgarh membeli najis lembu dari peladang tenusu dengan harga 200 rupee per 100 kilogram di bawah skim kerajaan negeri untuk menghasilkan baja kompos. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kerajaan India menggalakkan para petani menjual najis lembu untuk tujuan pertanian organik. 


Terdapat juga peningkatan permintaan terhadap najis ternakan untuk dijadikan sebagai produk mesra alam seperti lampu tanah dan untuk ritual keagamaan. 



'Kek najis lembu' diperbuat dengan mencampurkan najis lembu segar dengan jerami yang kemudian dijemur di bawah sinaran matahari sebelum digunakan oleh komuniti pertanian di India untuk menyalakan api. Sebilangan penganut Hindu menganggap lembu adalah suci dan najisnya digunakan sebagai ubat-ubatan dan amalan suci lain. 


Pada bulan Mei, penganut-penganut Hindu di bahagian Gujarat barat akan mengunjungi tempat perlindungan lembu seminggu sekali untuk menyapu kotoran haiwan itu pada badan sebelum membersihkan diri menggunakan susu. Mereka percaya najis dari seekor lembu akan meningkatkan sistem ketahanan badan mereka bagi membantu mencegah dan menyembuhkan Covid-19. 



Bagaimanapun, Dr JA Jayalal, Presiden Persatuan Perubatan India memberi amaran bahawa amalan itu tidak berfungsi, sebaliknya menjadi punca virus kerana orang sakit sering berkumpul dalam kumpulan yang mahu menjalani rawatan tersebut. 


Pengunjung yang pergi ke tempat tersebut akan menggunakan najis dan air kencing lembu (yang telah diamalkan dalam ritual Hindu selama berabad) dilumurkan pada badan. Dalam masa menunggu kotoran itu kering, mereka akan memeluk lembu dan berlatih yoga untuk meningkatkan tahap tenaga sebelum dibersihkan menggunakan susu. 



Pada tahun 2019, Perdana Menteri Nerendra Modi telah melabur lima bilion rupee untuk penyelidikan najis lembu yang akan dijadikan sebagai ubat-ubatan dan produk kebersihan diri seperti ubat gigi, syampu dan penghalau nyamuk. 


Sumber: Daily Mail

No comments