Golongan berusia 26-30 & 56-60 paling tinggi kes Covid-19


Statistik menunjukkan dua kumpulan umur masyarakat yang paling tinggi kes positif COVID-19 adalah dalam lingkungan 26 hingga 30 tahun dan 56 hingga 60 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua-dua kumpulan itu mungkin terdiri daripada pelajar Malaysia yang belajar di luar negara dan ketua keluarga yang sering keluar membeli barangan keperluan rumah. 

"Faktor yang pertama yang muda itu, kami rasa mungkin daripada pelajar atau mereka yang kembali dari luar negara. Ataupun sering keluar walaupun Perintah Kawalan Pergerakan, mereka keluar dan bergaul. 

"Kategori kedua pula peringkat ketua rumah yang selalunya keluar untuk membeli barangan dan sebagainya. Jadi dijangkiti apabila mereka keluar," katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 hari ini. 

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham ditanya mengenai prosedur operasi standard bagi tempoh kuarantin selama 14 hari kepada rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara, seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Jelasnya, tempoh kuarantin yang akan berkuat kuasa 3 April ini akan dilaksanakan terhadap kesemua rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara meskipun mereka negatif COVID-19 apabila disaring.

"Selepas ini, mereka yang negatif COVID-19 pun kami akan tempatkan di tempat khas yang disediakan, sekiranya positif COVID-19 memang akan dimasukkan ke hospital.

"Kami dah kenal pasti 334 pusat kuarantin di seluruh negara. Kami tengah lihat kalau kuarantin di rumah, mungkin kepatuhan (untuk kuarantin) mereka kurang, mungkin tercapai dalam 75 hingga 40 peratus sahaja," katanya dan menambah proses kuarantin ini dapat membendung penularan wabak COVID-19.

Ismail Sabri hari ini berkata mereka yang kembali dari luar negara akan dibawa terus menggunakan bas ke pusat kuarantin dan akan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengetahui status kesihatan, sebaik tiba di lapangan terbang.

Sumber: Bernama

No comments