Tak sempat berbuka dengan keluarga, anggota TLDM maut dalam kemalangan


Hasrat seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk berbuka puasa bersama dengan keluarganya semalam tidak kesampaian selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan. 

Dalam kejadian jam 1:30 tengah hari Isnin, Ahmad Syahizi Rashid Minkahar, 21, sebelum itu dalam perjalanan ke rumah keluarganya di Melaka, dari Pangkalan TLDM Lumut, Perak. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, motosikal mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terjatuh di lorong kecemasan di Kilometer 415 Lebuhraya PLUS, berdekatan Lembah Beringin di Hulu Selangor. 

"Mangsa menunggang motosikal Yamaha 125Z dari arah utara menuju ke selatan dan sebaik tiba di lokasi, motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas sendiri di bahu kiri jalan. 

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan dibawa ke Hospital Tanjung Malim untuk tindakan susulan," katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sumber: Harian Metro

No comments