'Perit masuk lokap 4 hari, tapi puas hati dapat beri pengajaran kepada semua'


Mohd Syukrey Adin, 37, yang baru dibebaskan selepas ditahan selama empat hari di lokap susulan kejadian menampar pemandu wanita yang tidak memberi 'signal' ketika masuk simpang, menganggap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. 

Dia disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. 

"Semua sudah tahu punca kenapa saya memukul wanita itu dan saya sudah pun menerima hukumannya dengan dua kesalahan. 

"Memang perit tetapi dalam masa sama saya berpuas hati kerana saya percaya apa yang berlaku dapat memberikan pengajaran kepada semua," katanya memetik laporan dari mStar Online semalam. 

Walau bagaimanapun, Mohd Syukrey berkata, kejadian itu mungkin tidak akan berlaku sekiranya pemandu wanita terbabit mengangkat tangan atau meminta maaf. 

"Saya manusia, ada perasaan tapi saya takkan suka-suka pukul orang lain. Dalam insiden itu saya pula dimarahinya, mungkin kalau dia angkat tangan atau minta maaf, benda ini takkan terjadi," katanya. 

Mohd Syukrey yang kembali bertugas sebagai Chef hari ini, menafikan dakwaan kononnya dia menumbuk pemandu terbabit, sebaliknya hanya menolak muka wanita itu sahaja. 

"Dalam video nampak seperti saya tumbuk, tapi sebenarnya saya hanya tolak muka dia. 

"Saya memang mengaku salah dengan apa yang telah saya buat. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Saya dikenakan denda dan dibebaskan pada Isnin," katanya. 

Justeru, Mohd Syukrey berharap pemandu-pemandu kenderaan lain lebih berhati-hati kerana nyawa penunggang motosikal terletak di tangan mereka. 

Sumber: mStar Online

No comments