Presiden Jokowi minta rakyat 'rajin' berbelanja pergi konsert untuk tingkatkan pertumbuhan ekonomi
Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, meminta para gabenornya menggalakkan masyarakat setempat untuk berbelanja bagi meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi nasional.
Jokowi turut memberikan contoh hal-hal kecil yang boleh dilakukan seperti mengadakan pertunjukkan seni dan sukan untuk mendorong masyarakat berbelanja.
"Saya bertemu dengan gabenor, wakil gabenor dan wakil daerah untuk tidak menghalang aktiviti sedemikian dianjurkan kerana ia boleh menggalakkan masyarakat berbelanja. Biarkan mereka menonton konsert, perlawanan bola sepak sebagainya. Biarkan masyarakat berbelanja," katanya memetik laporan dari portal Antara.
Jokowi menjangka sekurang-kurangnya lebih dari 3,000 kegiatan seni dan sukan akan diadakan pada tahun ini, seiring dengan pemansuhkan perintah mengawal kegiatan masyarakat (ketika pandemik Covid-19).
Menurut beliau, penganjuran aktiviti-aktiviti seperti itu akan memberi peluang kepada setiap daerah untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaan masyarakat.
Presiden Jokowi berkata, simpanan rakyatnya telah mencapai 690 trilion rupiah (kira-kira RM200 trilion) di perbankan. Dana tersebut tidak dibelanjakan kerana rakyat masih mengawal perbelanjaan terutama ketika perintah kegiatan masyarakat masih dilaksanakan.
Oleh yang demikian, Jokowi meminta agar setiap gabenor daerah membenarkan sebarang kegiatan yang berkaitan dengan seni dan sukan diadakan. Dan kebenaran perlu diluluskan dua bulan sebelum aktiviti itu dijalankan agar pihak yang berkaitan mempunyai masa untuk mempromosikan aktiviti tersebut.
Sumber: Antara
Post a Comment