(Video) 'Saya naik hantu sebab pakcik itu pukul kepala ibu' - Gadis tampil cerita hal sebenar kes mengamuk di tengah jalan



Tular di media sosial hari ini, video menunjukkan seorang wanita mengamuk dan memarahi lelaki warga emas sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dalam kejadian yang berlaku di Jalan Usahawan 6, Setapak.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian itu berlaku pada Rabu lalu dan pihaknya telah menerima laporan polis yang dibuat oleh kedua-dua pihak berkenaan. 


Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku berpunca dari perselisihan faham di antara kedua-dua pihak yang tidak berpuas hati dengan cara pemanduan masing-masing. 




Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan (Gaduh Gempar) dan jika sabit kesalahan, pelaku boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali. 

Sementara itu, wanita yang terbabit dalam kejadian tersebut tampil menceritakan hal sebenar mengapa dia marah dan mengamuk terhadap warga emas itu. 


"Saya naik hantu sebab pakcik itu naik tangan pada ibu saya. Sebab itulah saya marah sampai ke tahap tidak terkawal. 


"Kejadian bermula dari persimpangan lampu isyarat di mana pakcik itu mula membunyikan hon pada kami. Saya tidak faham mengapa dia berbuat demikian, sedangkan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan berada di lorong yang betul. 


"Keadaan jalan raya pada waktu itu sesak dan disebabkan saya tiada pilihan lain, saya terpaksa tidak mengendahkannya. Kalau kereta saya boleh terbang, sudah lama terbang untuk beri laluan kepada pakcik itu. Tetapi tidak boleh. 


"Selepas di persimpangan lampu isyarat itu, dia masuk ke simpang yang sama dengan saya. Dia bertindak memotong kenderaan saya, sambil bercakap dan menunjuk-nunjuk sesuatu sebelum menghimpit kenderaan kami. 




"Saya terus membunyikan hon, membuatkan pakcik itu brek secara tiba-tiba dan keluar dari kenderaannya. Dia 'naik hantu' dan memarahi kami. Saya cuba bertanya mengapa dia berbuat demikian. Tetapi balasannya, saya dimarahi dan ditolak. Maka berlakulah pergelutan di antara kami. 

"Dia bukan hanya memukul saya, ibu dan sepupu saya turut menjadi mangsa warga emas itu. Dia pukul kepala ibu membuatkan saya mengamuk. Tetapi saya dihalang oleh ibu yang enggan melihat saya bertindak di luar batasan," katanya.


Sumber: Harian Metro, TikTok

No comments