Tampar & letak cekodok panas di tangan nenek, penganggur dipenjara 12 bulan

Foto Harian Metro


Mahkamah Majistret Melaka hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang penganggur yang didapati bersalah atas pertuduhan memukul dan mencederakan neneknya.


Tertuduh, Nazri Zol, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh yang kemudian menjatuhkan hukuman tersebut. 


Mengikut pertuduhan, Nazri didapati sengaja menyebabkan kecederaan terhadap neneknya, Halimah Hassan, 83, dalam kejadian yang berlaku pada jam 9.20 pagi 21 Oktober 2022 di sebuah rumah di Taman Sutera Belia, Batu Berendam, Melaka Tengah. 


Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 dan dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan. 


Menurut fakta kes, tertuduh telah menolak mangsa dan menyuruhnya keluar dari rumah sebelum berlaku pertengkaran di antara suspek dan ibunya. 


Tertuduh kemudian secara tiba-tiba menampar belakang badan dan muka neneknya, serta mengambil cekodok panas lalu diletakkan di tangan mangsa. 


Akibat dari perbuatannya itu, mangsa disahkan mengalami kecederaan pada tisu lembut yang membawa kepada penahanan tertuduh pada jam 10 malam, 21 Oktober lalu. 


Tertuduh bagaimanapun merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana dirinya menganggur. Tetapi Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana perbuatan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius. 


"Nasihat saya, jangan kita bakar jalan kita ke syurga. Kamu beruntung pada usia 34 tahun masih ada nenek. Tolong jaga perangai dan minta maaflah kepada nenek kamu, bukan pada saya," kata Majistret Izwan.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh ditangkap pada 21 Oktober 2022. 


Sumber: Kosmo Online, Harian Metro

No comments