'Benda simple, tapi boleh hilangkan stress' - Lelaki kongsi info kurang cerdik dikecam teruk oleh netizen



Pihak berkuasa telah menetapkan, pemakaian tali pinggang keledar dalam kenderaan adalah wajib bagi tujuan melindungi keselamatan pengguna apabila berada di jalan raya.


Seiring dengan kemajuan industri automotif pada hari ini, hampir semua kenderaan memiliki fungsi peringatan dalam bentuk bunyi menjengkelkan dan kelipan lampu di bahagian papan pemuka agar pemandu atau penumpang segera memakai tali pinggang keledar. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan bunyi tersebut berulang untuk tempoh masa yang lama, sudah pasti menimbulkan rasa kurang selesa sesetengah orang. 


Walaupun tahu pemakaian tali pinggang keledar itu penting bagi mengaktifkan fungsi beg udara sekiranya terbabit dalam kemalangan, masih ramai yang enggan patuh dan mengambil mudah akan kepentingan pemakaiannya. Ditambah pula dengan tindakan sesetengah pihak menjual aksesori tambahan (buckle) bagi mematikan bunyi peringatan tersebut tanpa perlu memakai tali pinggang keledar, mengundang risiko dan bahaya kepada orang ramai.


Aksesori itu dijual dengan harga murah dan secara meluas di semua platform e-dagang tanpa sekatan, memudahkan orang ramai yang membeli aksesori itu yang kononnya boleh menghilangkan tekanan.


Semalam, tular di media sosial di mana seorang lelaki mempromosikan aksesori itu secara terbuka di dalam Facebook Group Honda City 2020 Malaysia, mengundang pelbagai reaksi netizen.


"Benda simple tapi boleh hilangkan stress," kata lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Fawwaz. 




Di ruang komen netizen menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan lelaki itu yang didakwa bukan sahaja berkongsi info yang tidak baik, malah boleh menyebabkan banyak nyawa melayang. 


"Simple bila tak jadi apa-apa. Nanti dah berlaku kemalangan, mulalah melalak sana tak betul, sini tak betul. Dia sajalah yang terpaling sakit," kata Amir. 


"Wah! Pakai seat belt pun stress ke? Manusia macam ni rasanya nak kencing pun dia stress," kata Ammar. 


"Tahukah anda? Jika pihak insurans dapat tahu benda ini ada dalam kereta semasa kemalangan, lagi-lagi kes kemalangan melibatkan kematian memang susah nak claim," kata Azari. 


"Ya, simple. Memang boleh menghilangkan s tress dan sekali gus menghilangkan nyawa kau," kata Tepetz. 


"Kalau bunyi warning signal pun boleh stress, berhentilah bawa kereta, naik komuter sajalah," kata Kay. 


"Orang yang buat benda ni konon tenang boleh hilangkan stress. Padahal menipu diri sendiri, menyorokkan ketidakpandaian dalam kepala otak mereka. Bila kemalangan nanti, confirm terus ke alam di sebalik mata. Bagus, kurang sikit manusia kurang cerdik," kata Haniff. 


Semakan di Facebook Group itu mendapati, hantaran itu telah dibuang selepas Fawwaz dikecam semua ahli group tersebut.




Sumber: Facebook Group Honda City 2020 Malaysia

No comments