'Kenyataan saya diputar belit oleh musuh BN' - Zahid nafi gesa PRU15 diadakan untuk selamatkan kluster mahkamah
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi mendakwa kenyataannya di perhimpunan agung MIC beberapa hari lalu telah diputar belit oleh pihak musuh untuk mengelirukan orang ramai.
Pada perhimpunan tersebut, Zahid berkata sekiranya BN kecundang di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bukan dia sahaja yang akan didakwa, malah Tok Mat, Presiden MIC Tan Sri Vicky, Saravanan, Presiden MCA Wee Ka Siong dan beberapa lagi pemimpin BN lain juga akan didakwa di mahkamah.
Jelas Zahid, kenyataannya itu merujuk kepada pendakwaan politik dan terpilih sekiranya pembangkang menang PRU15.
"Ini ucapan saya pada perhimpunan MIC yang sedang diputar belit musuh BN. Pada minit 2.35, dengan terang dan jelas saya menegaskan tentang pendakwaan politik dan terpilih.
"Itulah maksud saya risiko pemimpin BN jika musuh menang PRU15. Musuh BN akan menyalahgunakan kuasa membuat pendakwaan politik," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di media sosial.
Justeru, Zahid menasihatkan rakyat berhati-hati dengan strategi musuh BN yang didakwanya suka memutar belit kenyataan pemimpin BN bagi menghasut rakyat agar dapat memenangi PRU15.
"Itulah kaedah mereka menang PRU14, memutar belit, mengelirukan dan menghasut rakyat. Sememangnya itulah hakikat sebenarnya menunjukkan sikap yang ada pada diri dan cara mereka sejak azali.
"Semoga kali ini Allah SWT melindungi Malaysia daripada penipuan dan pemfitnah. Kepada seluruh rakyat Malaysia, bersama kita menolak politik fitnah," katanya.
Post a Comment