Polis percaya mangsa 'ambil' lebihan dadah dalam kereta bapa saudaranya
Siasatan polis mendapati, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang kritikal akibat 'overdose' dadah jenis methaphetamine di Kota Bharu, dipercayai menemui dan mengambil bahan terlarang itu di dalam kenderaan bapa saudaranya.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa berkemungkinan telah ditinggalkan suspek berusia 30 tahun dalam kereta Proton Saga dinaiki mereka selepas mendapatkan bekalan dadah itu.
"Kita percaya suspek mengambil bekalan dadah dengan membawa mangsa bersama dalam kenderaannya dan siasatan awal menunjukkan ada kemungkinan mangsa ditinggalkan dalam kereta serta ada lebihan dadah di dalamnya," katanya.
Kenderaan milik suspek telah dirampas untuk siasatan Unit Forensik.
Difahamkan, suspek telah beberapa kali membawa mangsa keluar bersama tanpa diketahui lokasinya.
Susulan dari kejadian itu juga, polis telah menahan sembilan suspek berusia 19 hingga 40 tahun di beberapa 'port' dadah di sekitar Kampung Sri Bintang, Kuala Krai, kelmarin.
Sementara itu, ibu mangsa berkata, anaknya kini memberikan respon apabila namanya dipanggil biarpun dalam keadaan ditidurkan.
"Walaupun belum lagi sedarkan diri, sudah ada sedikit pergerakan sebaik namanya dipanggil dan itu cukup melegakan saya. Kakinya sudah bergerak dan seakan menendang ketika saya melawatnya.
"Walau dilihat semakin positif, tapi saya belum boleh menaruh harapan tinggi kerana anak masih belum sedar. Bagaimanapun saya tetap berbual dengannya dan merayu agar dia cepat sedarkan diri kerana saya pun sudah tidak bermaya disebabkan sakit kanser payudara yang dialami.
"Sejak beberapa hari berada di sini, tubuh saya sendiri berasa seolah demam kerana kerap bergerak ke sana sini dan sering memikirkan mengenai keadaan anak. Saya sendiri bergantung kepada ubat dan kejadian yang berlaku ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya serta tahap kesihatan," katanya.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment