KWSP dijangka akan agihkan kadar dividen lebih rendah bagi 2022 - Pakar Ekonomi
Foto Harian Metro |
Pakar-pakar ekonomi menjangkakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengagihkan kadar dividen yang lebih rendah bagi 2022 berikutan jumlah pendapatan pelaburan yang lebih lemah yang dicatatkan semasa suku pertama berakhir 31 Mac 2022.
Dana pencen itu hari ini mengumumkan bahawa jumlah pendapatan pelaburannya telah merosot kepada RM15.85 bilion pada suku pertama 2022 berbanding RM19.29 bilion yang dicatatkan semasa suku pertama tahun lepas berikutan penurunan dalam pasaran di seluruh dunia.
"Kadar dividen KWSP dijangka jatuh seiring dengan pendapatan pelaburan yang lebih rendah," kata Profesor Ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng kepada Bernama ketika dihubungi.
Tahun lepas, KWSP sebagai salah satu dana persaraan tertua dan terbesar di dunia, mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.10 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.65 peratus bagi simpanan Syariah.
Menurut Yeah lagi, konflik Rusia-Ukraine yang berpanjangan termasuk inflasi serta peningkatan kadar faedah seperti kenaikan 75 mata asas oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan jangkaan pertumbuhan global disemak semula ke bawah.
Selain itu, risiko kemelesetan juga semakin bertambah ketika AS bergelut untuk mengendurkan ketegangan inflasinya.
"Sekiranya ia mampu mencatatkan perkembangan yang baik dan China dapat meneruskan aktiviti biasa di tengah-tengah dasar sifar Covid-19, kita mungkin melihat pendapatan pelaburan bertahan untuk membolehkan dividen yang memuaskan, yang kemungkinan besar akan lebih rendah daripada tahun sebelumnya," katanya.
Profesor Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Geoffrey Williams mempunyai pendapat yang sama, beliau tidak menjangkakan dividen yang tinggi untuk 2021 akan diulangi pada tahun ini memandangkan isyarat awal sudah boleh dibaca berdasarkan persekitaran pelaburan secara umum.
Tahun lepas, prestasi dividen KWSP secara keseluruhan disokong oleh pemulihan yang kukuh dalam pasaran ekuiti, katanya.
"Tetapi pertumbuhan 2022 sudah mula dicanangkan menurun di seluruh dunia, jadi pulangan pelaburan mungkin lebih rendah," kata Williams.
Sementara itu, Yeah berkata prestasi suku pertama yang lebih lemah memang dijangka susulan pergolakan dalam pasaran kewangan, makanan dan tenaga global ekoran konflik Rusia-Ukraine.
"Pasaran kewangan juga dipacu oleh peningkatan inflasi yang kukuh termasuk ramalan kenaikan kadar faedah," katanya.
Williams, bagaimanapun, menjelaskan bahawa hasil suku pertama tidak dijangka tetapi juga tidak mengejutkan susulan pergolakan dalam pasaran umum pada suku yang ditinjau.
Sehingga 31 Disember 2021, jumlah pendapatan pelaburan KWSP menokok enam peratus kepada RM67.06 bilion berbanding RM63.45 bilion yang direkodkan semasa 2020, didorong oleh pemulihan progresif pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas aset di tengah-tengah pemulihan global.
Sumber: Bernama
Post a Comment