Lelaki maut selepas ditembak dengan pistol renjatan & terjatuh dalam sungai



Seorang lelaki yang ditembak dengan pistol renjatan oleh polis sebanyak tiga kali dan terjatuh ke dalam Sungai Thames dari Jambatan Chelsea, dilaporkan telah meninggal dunia. 


Difahamkan, polis telah dipanggil ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai suspek bersenjatakan pemutar skru melakukan onar di lokasi pada jam 9 pagi, Sabtu, 4 Jun. 


Video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan suspek berusia lingkungan 40-an itu menjerit kepada dua pegawai polis sambil memegang objek itu di tangan kanannya. Suspek kemudian ditembak dengan pistol renjatan dan terjatuh ke lantai. 


"Meniarap! Jangan bergerak!" jerit salah seorang pegawai polis terhadap suspek. Tetapi suspek tidak mengendahkan arahan itu dan cuba bangkit menyebabkan dia direnjat buat kali kedua. 




Suspek sekali lagi terjatuh dan tetap berusaha untuk bangkit semula lalu berlari ke arah penghadang sebelum direnjat untuk kali ketiga yang mengakibatkan dia terjatuh ke dalam Sungai Thames. 




Suspek sempat diselamatkan dan dikejarkan ke hospital di mana doktor mengatakan keadaannya kritikal dan tidak beberapa lama kemudian, dia disahkan meninggal dunia. 


Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu sama ada pegawai polis berkenaan bertindak mengikut prosedur operasi standard atau sebaliknya. 


Sumber: Daily Star

No comments