Pasangan suami isteri (OKU) maut dirempuh pemandu mabuk yang punyai 6 saman trafik
Sepasang suami isteri (OKU) dilaporkan maut selepas motosikal Yamaha Ego yang dinaiki mereka dirempuh Perodua Myvi dipandu oleh lelaki berusia 24 tahun, di bawah pengaruh alkohol.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, kejadian itu berlaku pada jam 7.45 pagi semalam di Jalan Serkam Pantai yang mengorbankan nyawa Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya, Surayah Muhamat, 48, akibat mengalami kecederaan parah.
Siasatan mendapati, kejadian itu membabitkan tiga motosikal dan sebuah kenderaan yang dipandu suspek. Mangsa dan isterinya sebelum itu dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Merlimau bersama seorang lagi penunggang motosikal Yamaha Lagenda berusia 57 tahun.
Suspek yang memandu dari arah bertentangan dipercayai mabuk dan hilang kawalan lalu termasuk ke laluan bertentangan. Dua motosikal terbabit tidak sempat mengelak dan membrek, terus bertembung dengan Myvi tersebut.
Kemalangan itu menyebabkan motosikal Yamaha Lagenda terbakar dan sebuah lagi motosikal yang diletakkan di bahu jalan turut dirempuh Myvi itu.
Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala mangsa berusia 57 tahun hanya mengalami kecederaan ringan di badan. Suspek yang juga operator kilang cedera ringan di bahagian muka.
Sementara itu, anak kedua kepada pasangan berkenaan, Munirah Ezuddin, 21, terpaksa reda dengan kejadian yang menimpa ibu bapanya. Dia pada awalnya tidak percaya bila ada orang menghantar mesej menggunakan telefon bimbit ibunya yang memberitahu pemilik telefon terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia.
Tetapi mesej tersebut yang dilihat sangat teratur dan jelas, tidak seperti ditulis oleh ibunya menyebabkan mereka lima beradik yang ketika itu berada di rumah pusaka nenek mereka di Tambak Bugis, terus bergegas ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba di tempat kejadian, Munirah tergamam melihat jenazah ibu dan bapanya sudah terbujur kaku dan ditutup dengan kain.
"Hanya Allah yang tahu, lebih menyedihkan apabila mengenang arwah ayah tidak sempat tinggal di rumah baharu di Sebatu, Sungai Rambai yang sudah 90 peratus siap. Itulah impiannya untuk tinggal bersama ibu sehingga ke akhir hayat, selain hasratnya untuk menjadi nelayan selepas berhenti kerja di kilang membuat berus pada April lalu.
"Ayah tidak menunjukkan perubahan sikap ketara dan ceria seperti biasa. Begitu juga dengan ibu. Arwah seorang penyayang dan kenangan yang tidak dilupakan, dia gemar mencium kami dari kecil sehingga kini," katanya sebak.
Suspek telah ditahan polis kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan direman sehingga 10 Jun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Semakan rekod mendapati, suspek mempunyai enam kesalahan membabitkan lalu lintas. Polis kini sedang menunggu laporan ujian alkohol daripada hospital yang dijangka akan diperoleh dalam masa seminggu.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment