Budak dilarikan perompak yang curi kereta ibunya selama 2 jam sebelum ditinggalkan di belakang pasar raya


Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dilarikan perompak yang mencuri kereta Proton Exora milik ibunya dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.45 pagi tadi. 

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Abdullah Mat Piah berkata, si ibu berusia 40-an itu terdahulu pergi ke warung berdekatan untuk membeli makanan dan meninggalkan anaknya dalam kereta dengan enjin yang masih hidup. 

Di kesempatan itu, suspek masuk ke tempat pemandu dan terus memecut kereta itu ke arah Tendong, tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam kereta itu. 

Bagaimanapun, mangsa ditemui selamat di belakang Pasar Raya di Kok Lanans di mana suspek meninggalkan mangsa kepada seorang peniaga pada jam 10 pagi, dengan alasan bahawa ibu mangsa akan datang mengambilnya nanti. 

Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Peniaga berkenaan, Siti Rakna Mat Hassan, 60, berkata, dia ketika itu sedang mengupas bawang di belakang kedai sebelum suspek datang ke arahnya bersama dengan mangsa.

Suspek memaklumkan budak itu ditemui sedang bermain di tempat letak kereta dan nyaris dilanggar. Suspek meminta Siti Rakna menguruskan budak itu kerana dia ada perkara penting yang perlu didahulukan.

"Selepas ditinggalkan, budak itu hanya diam dan minum air milo sebelum ada dalam kalangan kmai mengetahui kanak-kanak ini adalah individu yang sama dilarikan perompak," katanya yang kemudian memaklumkan kepada polis.

No comments