'Apa dosa anak saya? Adakah dia baling roket kepada Israel?'
Kelmarin, seorang kanak-kanak perempuan Palestin berusia 14 bulan dilaporkan maut bersama dengan ibu saudaranya selepas terkena bedilan roket dari tentera Israel.
Rasha Abu Arar, 27, ibu kepada Seba, 14 bulan, berkata, sebelum kejadian itu mereka berada di dalam rumah dan tiba-tiba roket mengenai kediaman mereka.
"Saya segera memeluk Seba bagi melindunginya. Namun serpihan roket mencederakan tangan saya dan menembusi tubuh Seba.
"Apa dosa anak-anak saya? Adakah mereka membaling roket kepada Israel?" kata Rasha, ibu kepada enam orang anak yang juga sedang hamil.
Sementara itu, ibu saudara Seba, Falisteen, 37, yang sedang hamil anak ke-10 juga terbunuh akibat cedera di bahagian leher.
"Sedih tidak tergambar melihat anak-anak yatim ini yang masih kecil. Bagaimana mereka mahu meneruskan hidup tanpa ibu?" kata ibu Falisteen, Fatma.
Ketegangan yang berlaku pada Jumaat lalu tercetus selepas Israel mendakwa dua anggota tenteranya cedera selepas ditembak penembak hendai Islamic Jihad.
Hamas dan Islamic Jihad kemudian membedil ratusan roket ke wilayah Palestin, dianggarkan sehingga 600 roket yang dibalas Israel dengan serangan udara, bedilan kereta kebal serta bedilan kapal perang dari laut.
Israel mengebom lebih 200 sasaran, termasuk kemudahan tentera Hamas. Dua bangunan tinggi Gaza musnah dengan satu daripadanya, al-Khuzendar, ranap sepenuhnya.
AFP melaporkan, pemimpin Palestin di Gaza menyetujui gencatan senjata dengan Israel semalam, bagi menamatkan pertempuran dua hari itu yang boleh mencetuskan perang.
Jurucakap tentera Israel enggan mengulas mengenai gencatan senjata itu namun menurut wakil AFP do Gaza, bedilan roket atau serangan udara Israel sudah berhenti.
Menurut jurucakap Hamas dan Jihad Islamic, gencatan senjata itu ditaja Mesir dan pegawai Mesir mengesahkan persetujuan itu.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment