Selfie maut


Gara-gara mahu berselfie, seorang wanita maut selepas terjatuh dari tingkat 27 Menara Luxor, kawasan kejiran popular di El Cangrejo, Panama City, lapor Daily Mail.

Dalam kejadian jam 10 pagi Jumaat lalu, mangsa, Sandra Manuela Da Costa Macedo, 27, pelancong warga Portugal, dipercayai berdiri di balkoni sebelum duduk di atas selusur untuk berselfie sebelum hilang keseimbangan badan. 

Rakaman video menunjukkan Sandra masih memegang selfie stick ketika dia terjatuh. 


Paramedik yang tiba di lokasi kejadian bagaimanapun tidak dapat menyelamatkan mangsa yang sudah tidak bernyawa. 

Menurut siasatan awal pihak polis percaya ibu kepada dua anak itu hilang keseimbangan disebabkan oleh angin kencang, menyebabkan mangsa terjatuh. 

Difahamkan, Sandra baru tiba di bandar itu untuk bercuti. 

Sebelum kejadian itu, buruh yang bekerja di bangunan bersebelahan menjerit agar Sandra turun dari selusur tersebut, tetapi tidak didengari kerana angin terlalu kuat. 




Sementara itu, pihak Bomba Panama melalui Twitter memberi amaran kepada orang ramai agar tidak berselfie di tempat yang boleh membahayakan nyawa. 

"Jangan gadai nyawa demi selfie. Lebih baik hilang seminit dalam kehidupan anda berbanding hilang kehidupan anda dalam seminit." 

No comments