'Mana para pejuang reformasi ketika bapa saya ditangkap SPRM?' - Anak Zahid Hamidi


"Di mana pelaung-pelaung reformasi seperti Hishamuddin Rais? Mana sahabat-sahabat universiti saya? Mana Anwar Ibrahim yang pertahankan reformasi? Tidakkah Anwar dan Nurul Izzah nampak apa yang berlaku?" demikian soal anak perempuan kepada Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang mempersoalkan di mana para pejuang reformasi ketika bapanya ditangkap. 

Nurul berkata demikian di hadapan kira-kira 200 penyokong dan petugas media di depan bangunan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam. Jelasnya, dia tidak bersedih dengan penahanan bapanya, tetapi terlalu geram dan benci. 

"Saya terlalu geram dan benci, perasaan ini saya simpan dari tahun 1998. Saya bercerita pasal orang malam ini dikurung oleh orang sama bernama Mahathir Mohamad," katanya. 

Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah isteri Zahid, Hamidah Khamis, anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam, bekas pengarah bahagian komunikasi strategik JASA Tun Faisal Ismail Aziz dan pelakon Ellie Suriati.

Semalam, Ahmad Zahid menolak cadangan peguamnya supaya beliau memohon kebenaran untuk diikat jamin dan tidak ditahan semalaman di lokap SPRM.

"Peguam hendak bagi dia (Ahmad Zahid) keluar, tetapi dia tak nak. Jadi dia akan di sini (SPRM Putrajaya) sampai esok pagi," katanya.

Ahmad Zahid ditahan SPRM 3.15 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana sebuah yayasan.

Jam 8.15 pagi tadi, Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan dijangka berdepan lebih 40 pertuduhan membabitkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 membabitkan nilai lebih RM100 juta.

SPRM juga pernah memanggilnya sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau bertemu dengan kerabat Arab Saudi yang dikatakan memasukkan wang RM2.6 bilion ke akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

No comments