Gara-gara isteri selalu ejek orang, tiga beranak mati dibunuh
Bengang kerap diejek dengan gelaran 'gajah', seorang lelaki nekad menculik dan membunuh satu keluarga dalam kejadian di Deli Serdang, Sumatera Utara.
Suspek, Agus Hariyadi, didakwa dibantu tiga rakannya mengikat tangan, kaki dan mulut mangsa sebelum menghumban kesemua mangsa ke dalam sungai, sekali gus menghapuskan bukti perbuatan jenayah mereka.
Bagaimanapun, jenayah mereka terbongkar selepas mayat Muhajir, Suniati (isteri) dan Solihin (anak lelaki) ditemui terapung di Sungai Blumei, Tanjung Morawa, Isnin lalu.
Difahamkan, polis telah dimaklumkan mengenai kehilangan mereka sejak 9 Oktober lalu.
Terdahulu, suspek bersama dengan tiga rakannya telah datang ke rumah keluarga itu dengan alasan mahu meminjam wang dan kehadiran mereka disambut masuk ke dalam rumah oleh Mujahir.
Ketika di ruang tamu, suspek terus memukul kepala Mujahir dengan batu-bata, lalu mengikat mangsa dengan pita pelekat.
Tidak berapa lama kemudian, isteri Mujahir, Suniati, datang ke ruang tamu terus ditangkap dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat, manakala rakan suspek turut melakukan perkara yang sama pada anak mereka, Solihin.
Ketiga-tiga mangsa dikumpulkan diruang tamu sebelum dibawa masuk ke dalam kereta yang sudah disediakan lalu dibawa ke satu jambatan dan dibuang ke dalam sungai.
Ekoran kejadian itu, polis telah memburu kesemua suspek. Dua rakan suspek berjaya ditahan dari tempat persembunyian. Suspek utama dan seorang lagi rakannya bagaimanapun memilih untuk melawan sehingga polis terpaksa melepaskan tembakan terhadap suspek utama yang maut serta merta di tempat kejadian. Rakan suspek pula cedera ditembak di bahagian kaki.
Siasatan awal polis mendapati, motif pembunuhan adalah kerana dendam di mana suspek tidak tahan seringkali diejek oleh Suniati dengan gelaran gajah berikutan keadaan fizikalnya yang gempal.
"Dia meminta bantuan dari tiga rakannya untuk melupuskan mayat dan bahan bukti," kata Ketua Polis Sumut, Agus Andrianto.
Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk didakwa atas pertuduhan membunuh.
Sumber: Tribun News, mStar Online
Post a Comment