Isteri bunuh diri dan dua anaknya selepas suami palsukan kematian sendiri


Jumaat lalu, polis di Loudi, Hunan, China, menahan seorang lelaki yang memalsukan kematiannya dalam kemalangan hanya kerana mahu mendapatkan pampasan insuran, menyebabkan isterinya bertindak melemaskan dua orang anak mereka sebelum membunuh diri. 

Suspek, He, 34, dari daerah Loudi Xinhua, dilaporkan hilang pada 7 September lalu selepas memandu kereta yang dipinjamnya. Polis menemui kereta itu di Sungai Zijiang pada 19 September tetapi tidak menemui mayat He.

Pada Rabu, si isteri, Dai, 31, melemaskan dirinya bersama anak lelaki berusia 4 tahun dan anak perempuan berusia 3 tahun selepas memuat naik nota bunuh diri di media sosial. 

Dalam nota itu, Dai berkata, keluarga sebelah suami menyalahkan dirinya atas kehilangan lelaki itu, malah menuduh dia tidak bekerja dan menghabiskan terlalu banyak wang. 

Namun Dai menjelaskan, dia tidak bekerja kerana mahu menjaga dua orang anaknya. 

Dai juga berkata, dia dan suami hidup bahagia dan Dai merindui suaminya. Dai menjelaskan dia membunuh diri bersama dengan dua orang anaknya agar mereka sekeluarga dapat kembali bersatu. 

Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui dalam kolam pada Khamis dan bedah siasat mengesahkan mereka meninggal dunia kerana lemas. 

He yang mendapat tahu berita kematian anak-anak dan isterinya kemudian menyerah diri di balai polis. 

Polis berkata, He menanggung hutang sebanyak 100,000 yuan (RM60,000) dengan lintah darat. Difahamkan, He juga memiliki insurans perlindungan diri bernilai 1,000,000 yuan (RM600,000) dan menamakan nama isterinya sebagai pewaris. 

He memalsukan kematiannya untuk mendapatkan wang insurans itu tetapi isterinya tidak mengetahui tentang insurans tersebut dan percaya suaminya telah mati. 

He ditahan reman atas dakwaan cuba memalsukan kematian untuk mendapatkan pampasan insurans. 

Sumber: Asia One

No comments