Viral video KPPA didakwa tengking pegawai Imigresen di KLIA, Cuepacs gesa kerajaan campur tangan & ambil tindakan tegas

Sumber: Jabatan Netizen Malaysia


Tular di media sosial sejak semalam video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian kaunter Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dikaitkan dengan kes Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) menengking dan mengaibkan Pegawai Kanan Imigresen KLIA, James Lee. 


Kesatuan Pekerja Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mendakwa KPPA telah menengking dan mengaibkan pegawai kanan Imigresen, James Lee, di KLIA kerana bengang tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP. 


Bagaimanapun, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tampil menafikan dakwaan itu dan menjelaskan apa yang berlaku hanyalah teguran kepada pegawai Imigresen yang didapati tidak memeriksa dokumen perjalanan (pasport) KPPA dan delegasi ke luar negara. Sebaliknya diminta terus pergi ke bahagian kastam.



Sehubungan itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan campur tangan dalam kejadian yang berlaku di KLIA membabitkan KPPA dan Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). 


Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, KPPA selaku pegawai tinggi kerajaan sepatutnya menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada pegawai bawahan dan KPPA perlu memohon maaf secara terbuka untuk menjernihkan keadaan. 


"Adalah amat malang jika seseorang pegawai tertinggi dalam kerajaan memerlukan layanan bertaraf VVIP. Beliau seharusnya menyantuni pegawai kita dengan bijaksana dan memahami tugasan mereka di lapangan serta bukannya memalukan pegawai tersebut di depan khalayak ramai seperti yang didakwa oleh pihak kesatuan kakitangan Imigresen (KPISM).


"Apa yang berlaku tidak selari dengan konsep Keluarga Malaysia seperti yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan boleh menjejaskan imej pegawai perkhidmatan awam.


"Cuepacs amat berharap agar PM atau Ketua Setiausaha Negara dapat mengambil tindakan segera demi menjaga kebajikan kakitangan awam serta mengekalkan keharmonian dalam kalangan penjawat awam," katanya.


Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini, Jabatan Netizen Malaysia

No comments