'Tindakan pengurus terbabit tidak boleh diterima' - McDonald's jamin akan ambil tindakan terhadap pengurusnya yang biadab terhadap staff OKU


Susulan tular luahan ketidakpuasan hati seorang lelaki terhadap pengurusan restoran makanan segera yang didakwa memberi layanan diskriminasi terhadap adiknya (OKU), rangkaian restoran makanan segera McDonald's Malaysia tampil memberi jaminan akan menyiasat insiden tersebut. 


Baca: 'Kalau nombor dia tak dengar cakap, dia bodoh sikit' - Viral manager restoran makanan segera beri layanan diskriminasi terhadap staff OKU, undang kemarahan keluarga


Terdahulu, pengurus terbabit dikatakan telah menghantar teks mesej yang menghina maruah pekerjanya yang mengalami masalah pembelajaran khusus, dalam aplikasi WhatsApp secara terbuka dengan ayat berikut, "Kalau you manusia, bukan nombor, pastikan lobby aku tak bersepah, penyapu dekat luar. Manusia, dia dengar cakap. Kalau nombor, dia tak dengar cakap. Dia bodoh sikit."


McDonald's Malaysia mengesahkan kejadian itu berlaku di salah sebuah cawangannya di Seremban dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan dalaman. 


"Merujuk kepada insiden baru-baru ini di sebuah restoran McDonald's di Seremban, kami telah menjalankan siasatan dalaman segera dan menyeluruh untuk menangani perkara itu. 


"Kami dapat mengesahkan tingkah laku pengurus restoran tertentu didapati tidak boleh diterima dan melanggar dasar kami mengenai kepelbagaian dan keterangkuman. Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap individu tersebut.


"McDonald's Malaysia telah bertemu dengan pihak keluarga kakitangan terlibat untuk menyatakan permohonan maaf di atas insiden itu dan mahu menyelesaikan isu tersebut. Difahamkan kakitangan berkenaan telah bekerja bersama McDonald's sejak empat tahun lalu," kata kenyataan dari syarikat itu. 



Sementara itu menurut Muhammad Hanis, mereka sekeluarga telah mengadakan pertemuan dengan pihak McDonald's Forest Height semalam. Mereka menerima permohonan maaf yang dibuat dan menganggap perkara yang membabitkan adiknya itu telah selesai. 


"Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pesalah oleh pihak atasan terhadap individu terbabit. Maka dengan ini, kes telah pun selesai dan diharap tiada perkara berbangkit akan timbul terhadap golongan seperti ini khususnya di masa akan datang," katanya. 

No comments