Kerajaan komited sediakan 500,000 unit rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia (B40 & M40)
Bagi membantu merealisasikan rakyat Malaysia memiliki kediaman sendiri, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan merangka strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara, selaras dengan matlamat Satu Keluarga Satu Rumah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, strategi itu akan dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang membabitkan kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pemaju perumahan swasta.
" Mesyuarat hari ini bersetuju menetapkan hala tuju baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni.
"Pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen keterhubungan dan akses internet seperti 'fibre to the home' (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan selesa," katanya.
Kerajaan katanya, komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan dan pembiayaan perumahan serta program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam memiliki rumah.
Bank Negara turut diminta melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya institusi kewangan memudahkan pinjaman perumahan bagi golongan B40 dan M40.
"Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi dan kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan.
"Kerajaan komited menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda supaya selain memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah," katanya.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment