'Rugilah kami kalau tak naikkan harga sewa rumah' - Rumah sewa saiz 600 - 800 kaki persegi cecah RM1,500 sebulan, alasan lokasi strategik & dekat dengan pengangkutan awam


Harga rumah sewa pada masa ini dilihat terlalu tinggi dan pemilik rumah sewa pula memberi alasan kadar rumah sewa mahal dikenakan disebabkan beberapa faktor yang dianggap tidak masuk akal. 


Menurut laporan Harian Metro, rumah pangsa seluas 800 kaki persegi di Kuala Lumpur disewa dengan harga mencecah RM1,500 sebulan, setaraf dengan kediaman jenis kondominium mewah yang mempunyai pelbagai kemudahan seperti gimnasium, kolam renang dan sistem keselamatan yang canggih. 


Ada penyewa yang sanggup membayar harga sewa yang tinggi atas pelbagai faktor seperti lokasinya yang strategik, dekat dengan kemudahan awam. Disebabkan rasa 'terdesak' penyewa mendorong pemilik rumah menaikkan harga sewa rumah pangsa seluas 650 kaki persegi dengan dua bilik dan satu bilik air sehingga RM1,500 sebulan. 


Walaupun harga sewaan tidak masuk akal, kebanyakan pemilik menyediakan perabot serba lengkap dan penyewa hanya perlu berpindah masuk dengan membawa pakaian sahaja. 


Penyewa, Nur Aishah Ghazali, 32, mengakui dia dan suami terpaksa mengikat perut untuk membayar sewa RM1,200 sebulan untuk rumah pangsa seluas 650 kaki persegi di Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri. 


Biarpun mahal, tetapi rumah tersebut mempunyai tiga bilik dan dua bilik air. Jarak dari tempat kerja pula hanya memakan masa 10 minit perjalanan. Di kawasan itu juga terdapat sekolah, masjid dan banyak lagi kemudahan lain disediakan. 


"Gaji saya dan suami tidak sampai RM3,500 sebulan. Jadi kami terpaksa berkorban banyak aspek lain bagi memastikan semua sewa, bil-bil bulanan dan keperluan dua anak yang masih bersekolah dapat disediakan. 


"Apa pun, memang kami terasa beban dengan kenaikan sewa rumah kerana enam tahun dahulu, sewa rumah ni hanyalah RM900 sahaja," katanya. 


'RUGILAH KAMI KALAU TAK NAIKKAN KADAR SEWA RUMAH'


Sementara itu, pemilik rumah pangsa menegaskan mereka bukan suka-suka menaikan kadar sewaan bulanan. Kenaikan itu dibuat kerana mereka perlu membayar ansuran rumah, caj-caj lain yang berkaitan dengan penyelenggaraan dan seagainya. 


Azhar (bukan nama sebenar) mengakui jika ada lebihan (untung) sekalipun, ia adalah pendapatan sampingan dan jumlahnya tidak besar. Namun dia tidak menafikan ada sesetengah pemilik menaikkan kadar sewaan untuk mengaut keuntungan kerana pemilik juga mempunyai banyak komitmen lain yang perlu dilunaskan. 


"Contohnya saya sendiri bukan sahaja perlu membayar bayaran ansuran rumah, malah cukai pintu dan pembayaran yuran penyelenggaraan kepada Badan Pengurusan Bersama Flat juga. 


"Itu belum lagi kerosakan lain atau kes terpencil yang perlu ditanggung tuan rumah disebabkan karenah penyewa yang pelbagai. 


"Keuntungan hasil dari sewaan rumah ada juga disimpan untuk tujuan perbelanjaan baik pulih atau penyelenggaraan yang perlu. 


"Walaupun ada pemilik rumah menanggung banyak komitmen lain yang menyebabkan kadar sewa dinaikkan, namun kebanyakkan harga sewaan masih sesuai dengan nilai hartanah. 


"Jika kebanyakkan rumah di kawasan ini sudah naik harga sewaanya, tiada sebab saya nak bertahan pada harga lama. Rugilah kerana sebagai pemilik rumah, kami juga perlu ikut harga semasa. 


"Andai seorang bakal penyewa tidak berminat dan kurang mampu pada harga yang ditetapkan, mungkin ada penyewa lain yang lebih mampu," katanya. 


Laporan penuh mengenai isu kenaikkan kadar sewaan rumah di Lembah Klang boleh layari Harian Metro.


Sumber: Harian Metro

No comments