Warga emas maut, lehernya ditikam dengan pisau dapur oleh anaknya sendiri


Seorang wanita berusia 62 tahun maut ditikam oleh anak lelakinya sendiri di Taman Impiana, Kuantan, hari ini. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 10.30 pagi itu, dua lagi mangsa turut dilaporkan parah.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohammad Noor Yusuf Ali berkata, suspek yang berusia 38 tahun itu dikatakan menikam mangsa menggunakan pisau dapur di ruang tamu rumah teres dan meletakkan mayat ibunya di atas kerusi roda sebelum ditolak keluar sejauh 50 meter. 

Orang awam yang menyedari kejadian itu cuba menenangkan suspek yang dipercayai mengalami masalah mental. 

Ketika kejadian, hanya suspek dan ibunya yang patah tulang belakang (tidak boleh bergerak) berada di rumah.

"Kejadian berlaku antara jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi dan suspek meletakkan mayat ibunya di kerusi roda dan menolak keluar dari rumah sejauh kira-kira 50 meter. 

"Ketika orang awam cuba menenangkannya, suspek bertindak menikam adik perempuannya yang kebetulan tiba di tempat kejadian bersama teman lelakinya," katanya. 

Akibatnya, mangsa berusia 26 tahun itu cedera parah di bahagian belakang badan, manakala teman lelakinya yang berusia 37 tahun cedera di lengan. 

Warga emas terbabit, meninggal dunia akibat ditikam suspek di bahagian kiri lehernya. 

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dibedah siasat sebelum diserahkan keluarga untuk dikebumikan. 

Mangsa yang cedera juga telah dirawat di hospital yang sama dan keadaan mereka kini stabil. 

Suspek yang mempunyai rekod rawatan psikiatri itu ditahan dan akan direman untuk membantu siasatan dan mengenal pasti motifnya berbuat demikian. Polis turut merampas pisau yang digunakan suspek dalam kejadian itu. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

No comments