Kerajaan tak pernah benarkan, abu mayat Chin Peng mungkin dibawa pulang secara seludup


Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah sesekali membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia. 

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mahu membawa balik dan keluar abu mayat perlu memaklumkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Namun persoalannya ialah, adalah pihak terbabit memaklumkan perkara itu atau membawa masuk abu mayat itu secara seludup tanpa diketahui oleh pihak berkuasa. 

"Kita hanya tahu selepas keluarga atau sahabat handai membuat kenyataan," katanya. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya telah mengenal pasti laluan dan tarikh masuk abu mayat Chin Peng ke negara ini. Namun tidak dapat mendedahkannya kerana masih terlalu awal. 

"Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

"Kita juga sedang siasat bagaimana cara abu mayat itu dibawa masuk ke sini, termasuk kemungkinan ia dibawa masuk secara rahsia. 

"Buat masa ini, kita tidak akan dedahkan hasil siasatan kerana masih terlalu awal. Tetapi kita sudah kenal pasti laluan dan bila," katanya. 

Dalam pada itu, Huzir turut menafikan kepulangan abu mayat Chin Peng itu mempunyai kaitan dengan isu bendera berbucu lima yang sedang hangat diperkatakan. 


No comments