Rembat dana biasiswa pelajar sekolah (asnaf) RM2.4 juta, bekas pembantu tadbir dipenjara 584 tahun, 146 sebatan


Mahkamah Sesyen Melaka hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 584 tahun dan 146 sebatan terhadap bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) atas pertuduhan kes pecah amanah dana biasiswa pelajar sekolah berjumlah lebih RM2.4 juta. 

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu sebaik saja tertuduh, Mohd Hanafi Ismail, 31, membuat pengakuan bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa. 

Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun yang diarahkan berjalan serentak dengan satu sebatan bagi setiap 146 pertuduhan. 

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hanafi melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta (peruntukan biasiswa pelajar sekolah) apabila dengan curang menyalahgunakannya. 

Mohd Hanafi yang ketika itu bertugas sebagai kerani dengan lantikan kontrak perjawatan pembantu tadibr menyalahgunakan harta dengan memasukkan peruntukkan biasiswa pelajar ke dalam pelbagai akaun bank miliknya, perniagaannya, rakan dan keluarganya.

Kesalahan itu dilakukan secara berpingkat antara 23 Januari 2017 hingga 21 Disember 2018 yang membabitkan nilai keseluruhan RM2.404 juta yang dilakukan di Unit Kewangan TAPEM, Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh. 

Mohd Hanafi kemudian ditahan SPRM pada 12 Januari lalu dan didakwa di mahkamah pada 28 Oktober lalu.

Mohd Hanafi didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat, manakala tertuduh diwakili peguam Emirul Sarifudin Nor Azmi. 

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya dengan mengambil kira kesalahan tertuduh adalah serius dan jumlah direkodkan tinggi, yang sepatutnya disalurkan kepada pelajar golongan asnaf lebih layak. 

Selain itu, tiada sebarang baki daripada akaun itu dapat dipulangkan atau berjaya dirampas oleh SPRM. 

Hakim Datuk Mohd Nasir sebelum itu menegur tertuduh agar bertaubat dan memulangkan wang yang diseleweng itu kepada kerajaan Malaysia jika ada kerana dalam al-Quran ada menyebut, mengambil harta anak yatim adalah haram dan berdosa besar. 

Sumber: Harian Metro

No comments