Imuda Dapat Anak Lagi

PELAKON dan pelawak Imuda, 57, menimang cahaya mata keempat apabila isterinya, Zabarina Ali selamat melahirkan anak perempuan mereka di Hospital Adventist Pulau Pinang pada jam 8.08 malam tadi.

Bayi seberat 2.8 kilogram itu dilahirkan secara normal dan lebih istimewa cucu perempuan sulung keluarga isterinya.

“Alhamdulillah pada usia begini saya masih berpeluang menimang zuriat. Ini rezeki daripada Allah SWT.

“Mungkin ada yang bertanya dan mempertikaikan usia saya. Bagi saya, tidak salah dapat anak lagi pada usia ini apatah lagi isteri saya masih 30-an,” katanya.

Jelas Imuda lagi, tidak hanya dia malah bapa mentua juga antara insan paling gembira kerana impian untuk memiliki cucu perempuan selepas dikurniakan enam cucu lelaki dimakbulkan Ilahi.

Tambah pelakon yang popular dengan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu, kelahiran puteri keempat berkenaan sekaligus mengakhiri penantian kelahiran bayi perempuan dalam keluarga isterinya.

“Keluarga isteri saya sudah menunggu terlalu lama untuk kelahiran bayi perempuan. Apabila anak kami ini lahir, ia bukan sahaja memberi kegembiraan kepada kami tetapi kepada seluruh ahli keluarga juga.

“Saya anggap ia adalah rezeki yang telah diberikan Allah meskipun anak ini lahir pada usia saya 57 tahun,” katanya.

Terdahulu, menerusi perkahwinan pertama, Imuda dikurniakan sepasang anak, Raihana, 22, dan Mohd. Raizal, 16. Perkahwinan bersama Zabarina pula, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki bernama Rayyan yang kini berusia tujuh tahun

Sumber : Harian Metro/Kosmo

No comments