Suspek marah penjual nasi lemak telah direman dua hari untuk siasatan lanjut


Susulan viral video lelaki maki penjual nasi lemak kerana bengang ditegur tidak memakai pelitup muka, suspek telah ditahan polis pada jam 8 malam tadi, lapor Malaysia Gazette


Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan di kediamannya yang terletak berhampiran dengan gerai nasi lemak berkenaan. 


Baca: (Video) 'Kau siapa nak suruh aku pakai mask, cib**!' - Lelaki bengang ditegur tak pakai mask semasa beli nasi lemak


"Bertindak atas laporan polis yang diterima serta video insiden yang tular itu, polis berjaya mencekup suspek di rumahnya pada hari yang sama. Suspek kini sudah direman selama dua hari untuk membantu polis melengkapkan kertas siasatan," katanya. 


Siasatan lanjut juga mendapati suspek memiliki sebuah pusat gimnasium di ibu kota, namun tidak dapat beroperasi ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0. 


Terdahulu, video viral berdurasi 29 saat menunjukkan suspek memaki hamun penjual nasi lemak selepas berang ditegur tidak memakai pelitup muka yang jelas sekali melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0. Suspek yang marah bagaikan tiada hari esok, meminta penjual nasi lemak berkenaan menghubungi polis untuk mengambil tindakan terhadapnya. 


Salah seorang lelaki yang menyaksikan kejadian itu cuba meredakan keadaan, malangnya dia turut dimaki oleh suspek yang mengugut mahu memukulnya di pagi Ahad yang indah itu. Keadaan kembali terkawal selepas penjual nasi lemak meminta lelaki berbaju jingga itu beredar sebelum anak perempuannya tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. 

No comments