'Saya dilihat banyak timbulkan krisis terutama isu tulisan Jawi' - Dr Maszlee letak jawatan sebagai Menteri Pendidikan
Dr Maszlee Malik hari ini mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan yang akan berkuat kuasa mulai esok, selepas mendapat nasihat dari Perdana Menteri.
"Saya dengan taat setia dan reda walaupun berat, dengan nasihat ayahanda Perdana Menteri, saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa pada 3 Januari 2020.
"Keputusan ini dibuat selepas saya dilihat bukan melalui pencapaian. Kementerian Pendidikan sering menjadi perhatian terutama media bukannya melalui pencapaian kita, apa yang berlaku selama 20 bulan ini yang tidak dicapai pada tahun (kepimpinan) sebelum ini.
"Saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama membabitkan isu tulisan Jawi, internet sekolah dan sarapan percuma dan saya percaya keputusan ini bukan pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan baharu," katanya pada sidang media khas yang diadakan di kementeriannya hari ini.
Maszlee juga kesal, banyak perubahan dan pencapaian yang baik dalam tempoh 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan, malangnya tidak dijadikan sebagai tajuk utama oleh pihak media yang lebih gemar menggunakan tajuk sensasi dan kerap menyiarkan laporan isu sensitif dan sengaja diperbesarkan menjadi pilihan utama sehingga menampakkan dirinya sebagai menteri yang banyak menimbulkan banyak krisis.
"Bukan mudah untuk seorang yang tiada latar belakang politik dan seorang daripada aliran akademik diberikan peranan mengemudi kementerian sebesar ini, yang mana jika kital ihat lebih dihujani isu politik berbanding isu pendidikan semasa.
"Malah pada hari pertama dilantik, saya sudah jangka akan banyak kontroversi muncul dalam tempoh peralihan kepimpinan negara yang kini, begitu banyak ruang kebebasan dan ruang untuk semua pihak utara, bawa dan melobi kepentingan dan agenda mereka yang ingin dibawa dalam sistem pendidikan negara," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini memaklumkan menerima surat perletakan jawatan Maszlee.
"Saya menerima peletakan jawatan itu berkuat kuasa 3 Januari 2020. Saya mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang beliau berikan selama menjadi anggota Kabinet.
"Pengganti beliau akan saya tentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi," katanya.
Sumber: Berita Harian
Post a Comment