'Maaf pakcik, saya tidak meminta sedekah' - Warganet bersimpati dengan nasib budak ini terpaksa jual perfume setiap hari hingga lewat malam
JAM 11.45 MALAM, selesai bengkel soalan peperiksaan akhir untuk hari kedua. Semasa melakukan bengkel tadi, aku mendapati mouse laptop kurang berfungsi dan biasanya berpunca dari bateri. Sebelum balik ke bilik, aku pergi ke 7E di tepi hotel untuk membeli bateri gantian.
Di tepi 7E, aku ternampak sekujur tubuh yang sedang tidur di atas lantai tanpa sebarang alas. Di sebelahnya, selonggok barangan kelihatan seperti perfume. Mungkin baru balik dari menjaja barangan.
Diperhatikan betul-betul, rupa-rupanya yang sedang tidur itu hanyalah seorang anak kecil berusia dalam lingkungan 11 atau 12 tahun sahaja.
Selesai urusan membeli bateri, sebelum keluar aku bertanya kepada jurujual mengenai anak itu. Katanya anak itu selalu tidur di situ apabila kepenatan. Dia berjual perfume sehingga larut malam. Satu perasaan aneh lahir dari nurani ini.
Keluar dari 7E, aku seluk poket dan kejutkan anak yang baru nak melelapkan matanya. Aku kira dia berusaha untuk tidur dengan susah dalam keadaan sejuk lantai mozek tidak beralas dan ditambah dengan hujan yang baru turun. Aku kejutkan dan menghulur duit kepadanya.
"Maaf pakcik, saya tidak meminta sedekah. Saya jual barang-barang ini dan perlu habiskan sebelum balik ke rumah."
Aduh, sedikit manik jernih seakan mahu keluar.
"Tak apa dik, ambillah, pakcik ikhlas."
"Tak apa pakcik, kalau pakcik nak tolong, belilah minyak wangi ini," katanya.
Betapa jujurnya anak sekecil ini. Lemah rasanya seluruh badan ini. Aku pun membayar sebotol minyak wangi itu.
Rupa-rupanya tingkahlaku aku diperhatikan oleh seseorang yang juga baru keluar dari 7E. Dia menghampiri aku dan anak itu serta bertanya beberapa soalan.
Anak itu tinggal di Chow Kit. Aku pun tidaklah bertanya di mana secara tepatnya. Ayah dan ibunya sudah berpisah. Mereka ada empat adik beradik. Anak itu belajar di sekolah agama tahfiz.
Orang yang baru keluar dari 7E itu pun membayar wang untuk dua botol minyak wangi. Sebelum pergi, dia bertanya kepada anak itu.
"Boleh tak pakcik bagi sedikit duit untuk belanja sekolah adik?"
Anak itu menggeleng kepala. Aku cuba menyakinkan anak itu tidak mengapa kalau dia ambil duit untuk belanja sekolah sahaja. Aku seluk poket dan hulur kepada anak itu. Orang itu pun melakukan perkara yang sama. Didoakan anak itu semoga kami berdua dirahmati Allah.
Ya Allah, mulianya hati anak ini. Aku begitu sayu melihat dia. Ya Allah, Kau mudahkanlah urusan anak ini. Kau jauhkanlah dia dari bahaya dan Kau jagalah kesihatan dia.
Pastinya, ramai lagi anak-anak yang sebegini keadaannya. Kepada sesiapa yang berjumpa dengan anak ini di mana-mana, bantulah dia dengan membeli barang jualannya.
"ABANG TAK TAHU KE?"
Sebelum bertolak balik, saya pergi ke 7E untuk membeli sedikit barang untuk anak-anak. Semasa membayar, saya minta pekerja 7E itu tolong tanyakan berapa nombor telefon mak anak itu.
"Abang tak tahu ke?" tanya pekerja itu.
"Tahu apa?" balas saya.
"Dah lama budak tu tidur di tepi 7E di situ. Bukan sahaja malam, kadang-kadang siang hari pun ada. Mak dan ayah sudah berpisah."
(Ayahnya yang memaksa anak itu menjual macam-macam barang seperti perfume sekarang ni. Ayah tak bagi balik rumah selagi barang tak habis dijual. Kalau tak habis, memang kena tampar dan pukul) - Namun info terbaru dari rakan Facebook mengatakan dakwaan ini adalah tidak benar.
RESPON POSITIF
Alhamdulillah, ramai yang beri respon positif mengenai masalah anak yang tidur di tepi 7E Kampung Baru. Ada beberapa NGO dan wakil organisasi berkaitan termasuk individu-individu yang akan ambil tindakan. Semoga Allah membalas kebaikan mereka sewajarnya.
Sumber: Mohd Najid
Post a Comment