'Dalam diam mereka jalinkan hubungan semasa saya mengandung' - Ibu 3 anak dakwa usahawan kuih bakul musnahkan perkahwinannya
Viral di media sosial semalam, luahan seorang ibu kepada tiga anak yang kecewa rumah tangganya dikhianati oleh suami dan rakan baiknya yang sudah lama dianggap sebagai adik.
Melalui Facebook, wanita bernama Hanna Baa itu mendedahkan, rumah tangganya retak berpunca daripada rakan baiknya itu yang merupakan usahawan kuih bakul yang pernah viral di media sosial sebelum ini.
Hanna mendakwa, Haziqah Nurul Huda atau lebih dikenali dengan nama manjanya, Yaya, mengambil kesempatan bercinta dengan suaminya selama ini dan telah bernikah di sempadan Thailand.
Maaf kalau posting ini mengganggu, hanya untuk kesedaran kaum wanita dan pesanan agar korang berjaga-jaga dengan orang di sekeliling.
Kebahagian saya hari ini musnah kerana terlampau percayakan orang yang sangat rapat dengan saya. Setiap kali menemani suami ke kelas marketing di Kuala Lumpur, saya kasihan melihat dia keseorangan dan tak ada kawan. Saya cuba untuk mendekati dia dan berkawan dengannya. Atas alasan simpati itu jugalah, dia mengambil kesempatan terhadap kebaikan saya.
Bayangkanlah seorang isteri tidak pernah ada rasa syak wasangka langsung yang mereka akan menjalinkan hubungan cinta diam-diam di belakang saya. Kerana saya melayan dengan baik, menyokong dan menganggap dia seperti adik kandung saya sendiri, perempuan yang saya panggil nama Yaya.
Malahan, saya menyayangi dia dengan ikhlas, tidak pernah sedetik melihat kekurangannya, sentiasa mendengar rintihannya tapi tanpa saya sedar di belakang saya, dia bercinta dengan suami saya. Allahuakbar!
Saya salahkan kedua-duanya. Tergamak mereka (berbuat demikian) semasa saya mengandung, melahirkan dan ketika sedang berpantang, mereka berhubungan di belakang saya tetapi dalam masa yang sama perempuan yang saya anggap sebagai adik berpura-pura baik di depan saya.
Ya Allah, beratnya dugaan saya kali ini. Tergamak sungguh mereka. Sedangkan dia tahu saya punya keluarga yang bahagia dengan tiga cahaya mata, tapi dengan sekelip mata hancur berderai gara-gara ditikam sahabat baik dari belakang seperti ini.
Jika mengenang kembali kebaikan yang saya lakukan untuk mereka. Sejujurnya hati saya hancur dan kecewa dilakukan sedemikian rupa. Saya tidak dapat nak membalas segala perbuatan mereka kerana saya percaya Allah itu Maha Adil.
Kepada kawan-kawan di luar sana, beringatlah supaya nasib anda semua tidak menjadi seperti saya. Jangan pernah percaya kepada seseorang walau baik mana pun penampilan mereka. Saya sudah merasakan sampai saya terduduk, terkesima dan merasakan dunia seakan berhenti berputar. Tapi saya harus bangun dan kuat demi tiga cinta hati saya.
Untuk kamu yang telah melukakan hati, terima kasih.
Abang, terima kasih banyak-banyak atas rasa cinta yang kita bina selama hampir 11 tahun ini. Susah senang yang kita lalui bersama ketika dulu, kini hancur. Abang berjaya sekarang dan abang memilih kebahagiaan bersama dia. Sedangkan sayang tiada apa-apa yang hendak dibanggakan.
Saya percaya perjalanan yang Allah aturkan itu sentiasa terbaik. Saya redha jika hari ini saya diuji dengan ujian yang besar, saya yakin dan pasti ada sinar bahagia menanti esok hari.
I wish nothing but the best for you. Saya mengundur diri. Assalamualaikum.
Sementara itu, Yaya melalui laporan Harian Metro menafikan dakwaan itu dan menegaskan Hanna telah memfitnahnya.
"Saya tidak pernah berkahwin dengan sesiapa dan semua dakwaan dibuat di Facebook itu adalah fitnah. Saya reda dengan ujian Allah. Allah ada bersama saya. Insya-Allah, Allah permudahkan segala urusan saya hendaknya.
"Tiada alasan untuk saya berkahwin di Thailand seperti didakwa kerana ayah iaitu wali sah dan ibu sentiasa bersama saya 24 jam. Saya tidak boleh memandu dan jika pergi ke mana-mana mesti bersama ayah.
"Pada 6 Januari 2020 yang didakwa kononnya tarikh perkahwinan saya bersama lelaki itu di Thailand, ia tidak benar kerana pada hari itu saya sekeluarga berada di Kuantan kerana anak saudara dimasukkan ke hospital.
"Terserah kepada netizen jika berterusan ingin menghukum dan mengecam saya kerana fitnah itu. Saya yakin berada di pihak yang benar. Cukup sekadar mereka tahu, saya masih bujang dan tidak bercinta dengan sesiapa, jauh sekali berkahwin dengan suami orang," katanya.
Yaya juga menegaskan dia tidak teragak-agak untuk menyaman Hanna sekiranya terus menerus memburukkan namanya dengan fitnah itu.
Namun dalam kenyataan balas Hanna yang dilaporkan oleh Harian Metro, Hanna mendedahkan dia mengetahui hubungan Yaya dan suaminya sejak November 2019.
"Saya mengetahui hubungan mereka pada November tahun lalu dan luluh hati saya apabila ditikam insan yang dianggap seperti adik dan suami sendiri.
"Saya tidak mahu ulas panjang kerana saya ada bukti dan akan panjangkan isu ini (ke mahkamah) kerana dia menuduh saya memfitnahnya. Selain itu, saya mahu membuktikan saya di pihak benar.
"Saya tidak mahu memikirkan hal ini kerana hati saya sudah tawar. Hubungan dengan suami pun dingin terutama selepas pendedahan itu," katanya.
Sumber: Hanna Baa, Harian Metro
Post a Comment