'Maaf, tak perasan ada tulisan di keliling pusara itu' - Vida


Datuk Seri Vida atau nama sebenar Hasmiza Othman memohon maaf di atas tindakannya duduk di atas kubur bersebelah dengan kubur dua anak lelakinya, baru-baru ini, lapor mStar Online.

Menurut Datuk Vida, dia tidak menyedari ada tulisan jawi di keliling binaan kubur tersebut dan ianya bukan sesuatu yang disengajakan. 

Gamg yang dimuat naik itu bagaimanapun mengundang rasa kurang senang netizen yang menganggap tindakannya itu tidak beradab. 

"Saya minta maaf. Saya tak perasaan ada tulisan di keliling pusara itu. Saya duduk memandangkan tak bawa kerusi. Takkan nak duduk mencangkung pula.

"Kalau kita nak duduk kat kubur cuba netizen bagi cadangan... nak duduk bersila tikar tak bawa," katanya.

Terdahulu, Vida memuat naik gambarnya menziarahi kubur dua anak lelakinya, Eddie Zuhdi Mohd Amin, 11, dan adiknya Edrie Zikrie, 10, yang meninggal dunia dalam kebakaran lima tahun lalu, di Instagram. 

Dalam tragedi kebakaran itu, dua beradik berkenaan ditemui tidak bernyawa di bilik mandi sebuah rumah teres dua tingkat di Meru Hills, Taman Meru, Ipoh, Perak. Kebakaran itu memusnahkan hampir keseluruhan rumah lot tepi teres dua tingkat yang digunakan sebagai asrama untuk kakitangan Vida pada malam 3 Ogos 2013. 

Menurut Vida, sudah menjadi rutin dia menziarahi kubur dua anak lelakinya itu setiap Syawal pertama. 

"Walaupun rumah saya ramai tetamu tetapi saya tetap nak pergi kerana sudah jadi kebiasaan saya ke sana setiap raya pertama," katanya.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu soal jawab menjelaskan, hukum duduk di atas binaan kubur adalah makruh.

"Binaan kubur dianggap sebagai kubur itu sendiri. Oleh itu, makruh untuk duduk di atas binaan kubur kerana ia dianggap sebagai duduk di atas kubur.

"Kesimpulannya, duduk di atas binaan kubur adalah seperti duduk di atas kubur dan makruh hukumnya. Maka seelok-eloknya kita menjaga adab ketika berada di tanah perkuburan dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar adab-adab," demikian menurut penjelasan mengenai perkara itu. 

No comments