'Penceraian kami bukan disebabkan penyondol' - Linda, Beego akui pernah bercerai tetapi rujuk semula



Baru-baru ini media melaporkan seorang pelakon wanita telah hadir ke Mahakamah Syariah Kuala Lumpur untuk menyelesaikan masalah rumah tangga dengan suaminya, yang juga merupakan pelakon.


Teka-teki itu akhirnya terjawab apabila pelakon Linda Hashim, 39, dan suaminya, Beego, 43, mengesahkan mereka telah bercerai pada 27 Mac lalu sebelum merujuk semula ketika masih dalam edah pada 9 April lalu.


Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim berkata, perceraian itu berlaku disebabkan tiada persefahaman dan kurang berkomunikasi.


"Perceraian kami bukan disebabkan oleh penyondol (orang ketiga). Begitu juga, bukan kerana masalah kewangan sebagaimana dihadapi pasangan lain.


"Macam yang saya katakan, kami memang berhadapan masalah persefahaman dalam komunikasi. Ia berpunca, mungkin kerana banyak perkara yang masing-masing pendam di dalam hati sebelum ini," katanya memetik laporan dari Harian Metro.


Terdahulu tular di media sosial video Linda dan Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, hadir di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.


Sementara itu, Beego berkata apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka adalah asam garam dalam perhubungan setiap pasangan suami dan isteri berkahwin.


"Saya percaya, setiap pasangan yang berkahwin itu akan berhadapan ujian-ujiannya. Lima tahun awal (berkahwin) diuji dengan persefahaman dan untuk 10 tahun perkahwinan pula diuji perkara lain.


"Apapun, saya bersyukur kami boleh berbaik semula dalam tempoh yang singkat dan dapat menyelamatkan rumah tangga ini semula demi perasaan kami dan anak-anak," katanya.


Jelas Beego, dia dan isterinya selama ini tidak berkongsikan paparan kisah kehidupan mereka di media sosial. Bagaimanapun, dia tidak menduga masalah rumah tangga dan perceraian mereka diketahui media.


"Saya terkejut kedatangan kami ke mahkamah pagi ini diketahui media. Ini kerana, saya berusaha menyembunyikan kisah rumah tangga kami kerana melihat ramai pasangan selebriti kini berhadapan masalah rumah tangga," katanya.


Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 9, Anggun Cassandra, 8, dan Indah Camelia, 4.


Sumber: Harian Metro

No comments