'Kalau aku tak dapat, lelaki lain pun takkan dapat dia' - Cinta tak direstui, lelaki bunuh bekas kekasih



Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan polis kerana membunuh bekas teman wanitanya dengan menggunakan senjata api pada Rabu, 26 April lalu. 


Mangsa ketika itu berada di sawah dan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu di Kabupaten Padang Pariman, Sumatera Barat, Indonesia. 


Ketua Unit Siasatan Jenayah, Muhamad Arvi berkata, kejadian itu berlaku pada jam 1 petang dan beberapa jam selepas itu, suspek berjaya ditahan polis, selepas mendapat maklumat daripada pihak keluarga mangsa. 


"Mangsa dikenali sebagai Fadillah, 20, maut ditembak oleh bekas kekasihnya sendiri, 'MN'," katanya. 


Siasatan awal mendapati, suspek mengaku membunuh mangsa menggunakan senjata jenis air gun dalam jarak 50 meter dengan ketinggian 10 meter. 


Sebelum itu, Fadillah berada di sawah bersama dengan adik dan datuknya. Semasa sedang mengerjakan sawah, datuknya terdengar bunyi tembakan dan jeritan mangsa sebelum menemui Fadillah dalam keadaan tidak sedarkan diri. 


Datuk mangsa kemudian meminta pertolongan daripada penduduk sekitar. Adik mangsa yang terdengar jeritan itu terus datang dan mendapati kakaknya berlumuran darah di bahagian rusuk kanan.


Belum sempat mendapatkan rawatan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 


Difahamkan Fadillah dan suspek telah menjalinkan hubungan selama lima tahun dan putus disebabkan perhubungan mereka tidak mendapat restu daripada orang tua. 


Susek mengaku menembak mangsa kerana enggan Fadillah dijodohkan dengan lelaki pilihan ibu bapanya. - Tribun News


No comments