'Sayang nak lepas tapi...' - Ramai pokai & terpaksa jual iPhone 13 akibat berbelanja sakan untuk raya 2022
Sudah menjadi kebiasaan kebanyakan orang berbelanja sakan semasa membuat persiapan raya. Masuk minggu kedua Syawal pula, ada yang mula kehabisan wang dan keadaan bertambah perit apabila mereka terpaksa menunggu hari gaji. Dalam keadaan terdesak itu, mereka sanggup menjual telefon pintar jenama iPhone.
Juruteknik kilang, Zainal, 26, rela menjual iPhone 13 Pro Max (512 GB) pada harga RM4,000 kerana memerlukan wang segera. Sedangkan telefon jenama buah epal itu baru sahaja dibelinya bulan lalu.
Zainal mengakui dia terpaksa menjual iPhone tersebut kerana wang gaji bulan lalu telah habis dibelanjakan untuk membuat persiapan raya termasuk membeli pakaian untuk ahli keluarga kerana dua tahun tidak pulang beraya di kampung. Tambahan, dia juga berbelanja besar semasa bulan Ramadan.
Kesilapannya itu menyebabkan beberapa komitmennya seperti ansuran kenderaan, pinjaman pendidikan dan langgan siaran televisyen berbayar mengalami tunggakan.
"Saya beli iPhone 13 Pro Max 512GB itu bulan lalu pada harga RM6,699 hasil wang bonus dan simpanan bagi menggantikan iPhone versi terdahulu. Oleh kerana kusut memikirkan pasal hutang, saya rela menjual telefon berkenaan," katanya.
Sementara itu seorang lagi pemilik iPhone, Azli, 25, turut mengakui terkesan dan terpaksa menjual telefon tersebut kerana kesempitan duit selepas seronok beraya.
iPhone 13 256GB tersebut dibeli pada dengan harga RM3,899 pada Disember 2021 dan terpaksa dijual semula pada harga RM2,000 di sebuah premis telefon terpakai.
"Memang sayang nak dilepaskan, tetapi sebab kesempitan duit selepas seronok beraya, maka saya fikir elok jual. Lagipun saya ada telefon kedua. Telefon ini pun hanya digunakan buat bermain permainan dalam talian.
"Walaupun rugi, tapi apa nak buat. Ini sajalah cara terbaik. Takkan saya nak pinjam daripada Ah Long pula," katanya.
Pereka grafik, Zainuddin, 30, turut menjual iPhone 13 256GB miliknya kepada rakan walaupun belum sampai dua minggu menggunakannya.
"Telefon itu dibeli menggunakan sebahagian wang pengeluaran khas KWSP baru-baru ini. Saya jual telefon itu RM3,000 pada kawan dan dia pula gembira dan tak kisah jadi pemilik iPhone second hand," katanya.
Sumber: Kosmo Online
Post a Comment