Driver e-hailing paksa duduk depan & cabul penumpang wanita, ditahan
Polis menahan seorang pemandu e-hailing yang didakwa mencabul seorang penumpang wanita di Johor Bahru, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan di kediamannya di Ulu Tiram, malam Rabu.
Siasatan awal mendapati, mangsa berusia 23 tahun terdahulu baru pulang dari tempat kerjanya di sebuah pusat beli-belah dan menempah perkhidmatan e-hailing itu untuk pulang ke rumahnya di Permas Jaya.
Dalam perjalanan pulang, suspek dikatakan meminta mangsa duduk di hadapan beberapa kali, tetapi mangsa menolak kerana bimbang dengan keselamatan dirinya.
Sehingga kenderaan yang dipandu suspek berada di Jalan Bakar Batu, mangsa akhirnya mengalah dan terpaksa berpindah ke tempat duduk penumpang hadapan.
Di kesempatan itu, suspek terus mencabul mangsa beberapa kali. Mangsa berusaha menolak suspek dan keluar dari kenderaan itu sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Bertindak di atas laporan, polis telah menahan suspek dan merampas telefon bimbit, Perodua Alza berwarna putih dan kunci yang digunakan suspek dalam kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Polis menasihatkan orang ramai terutamanya penumpang wanita untuk sentiasa berhati-hati ketika menggunakan perkhidmatan e-hailing ketika bersendirian.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment