'Jumpa handphone ni, ingat nak jual je boleh RM1,000 tapi takkan Allah nak tunaikan doa saya camni?'- Berkat kejujurannya, dapat rezeki lebih dari yang diminta


Kehilangan telefon bimbit isterinya membawa banyak pengajaran buat lelaki ini. Telefon bimbit yang bernilai ribuan ringgit disangka hilang, rupa-rupanya disimpan sementara oleh seorang lelaki muda yang menunggu kedatangan pemiliknya, biarpun terpaksa menunggu lama di lokasi telefon itu ditemui. 

Berkat kejujuran anak muda itu, balasan yang diterima sungguh tidak disangka. Dikala dia memerlukan wang bagi menanggung kos perubatan abangnya yang terlibat dalam kemalangan, Tuhan memakbulkan doanya. Semoga kisah dari Saiful Bahari ini memberi manfaat kepada kita semua. 

KISAH BUDAK JUJUR DAN BALASAN TUHAN

Masa makan dengan keluarga, tiba-tiba isteri kata handphone dia hilang. Bila call, dering masih ada. Ya, ini adalah thread. 

So abang pun pergilah cari handphone itu. Abang pun pusinglah keliling kereta, manalah tahu kalau handphone jatuh berdekatan kereta. 

Tiba-tiba datang seorang budak muda menegur abang. Dressing macam mat rempit, muka pecah rumah. 

"Abang cari handphone ke?" dia tanya. 

Abang cakap, "Ye,". 

"Ini handphone abang, saya jumpa di atas jalan, tepi kereta. Lama dah saya pegang handphone ini. Tadi masa abang call, saya tak perasan sebab handphone ini silent. 

"Saya pula nak call abang, tak tahu password nak buka handphone ini. Nasib baiklah abang datang. Saya dah lama kat sini, nak balik dah," katanya yang kemudian kami berbicara seketika. 

Kalau handphone ini hilang, merataplah abang nak kena keluarkan seribu dua lagi beli handphone baru untuk awek (isteri) abang tu. Tetapi disebabkan jasa baik budak ini, selamat segala benda. 

Dalam bersalam itu, abang kautlah kat dia RM300-RM400 sebagai ucapan terima kasih. Abang biasalah, time abang ada kemampuan, abang tak suka orang tolong abang sia-sia. Padahal abang sekadar nak mengucapkan terima kasih tak padan. Tetapi kalau time tak ada tu, lainlah cerita ye. 

Jeng! Jeng! Jeng! Ini baru bermula sebuah kisah, yang tadi itu mukadimah saja. 

Tiba-tiba dia menangis dan peluk abang, ucap terima kasih. Terperanjatlah abang bila dia peluk. Kalau Nasha Aziz tak apalah juga. Ini type Faiz Roslan yang peluk. Lutut abang dah terangkat-angkat dah nak lutut perut dia. 

"Bang, saya sebenarnya dari Kuala Lumpur, kerja sebagai despatch. Tadi dapat panggilan yang abang saya kemalangan dan sekarang dia berada di Hospital Termeloh. 

"Masa saya ambil cuti kecemasan tadi, saya cuba pinjam duit dari company tetapi tidak dapat. Saya balik dari Kuala Lumpur ini berbekal RM20 saja bang. 

"Ini pun berhenti makan nasi bujang saja. Mak kata nak pakai duit sikit untuk tanggung apa yang patut sebab abang kemalangan. Nak bayar kos hospital, makan minum ke. 

"Sepanjang perjalanan balik tadi, saya pening sebenarnya bang. Mana nak cari duit. Saya tawakal sajalah sambil tak berhenti berdoa meminta Allah hantarlah RM300-RM400 kat saya jatuh dari langit. 

"Tiba-tiba saya jumpa telefon abang ni. Mula-mula saya ingat nak blah je dan jual handphone abang ni. Boleh dapat RM1,000 kalau tolak handphone ni. Tapi bila fikir balik, takkan Allah tunaikan doa saya dengan cara macam ni, mesti Allah nak uji saya lagi ni. Itu yang saya tunggu saja tuan telefon ini.

"Tetapi tak sangka daripada rezeki mudah cara haram, saya boleh dapat dia bertukar menjadi rezeki halal sebab abang sendiri beri tanpa saya meminta. 

"Maaflah bang kalau saya teremosional sampai menangis dan peluk abang," katanya. 

Sudahnya abang pula nak menangis bila keesaan dan kebesaran Allah itu berlaku di depan mata abang. Doa yang tak henti-henti, tawakal yang berterusan, tak gunakan dan tunggang hukum Allah untuk buat duit mudah, wajah dan penampilan hati dan perilaku, dan banyak lagi abang dapat serta belajar dari perkara ini. 

Macam biasa, abang bila dah tersentuh hati, abang kautlah lagi RM300 kat dia. Abang pesan pada dia, bila minta tolong Allah maka yakinlah Allah akan tolong. Abang ni asbab je dia dapat durian runtuh hari ini. Tetapi semuanya sebab dia sendiri berhati baik, sebab itulah dia dapat lebih dari apa yang dia doa. 

Abang pesan lagi pada dia dan diri abang sendiri juga. Allah dah tunjuk pada dia bahawa bila kita berserah kepadaNya, maka balasan dari Dia sangat cepat. 

Jadi selepas ini, jadikanlah ini sebagai iktibar supaya dekatkan lagi diri kepada Allah dengan solat, zikir dan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. 

Itulah kisah yang abang baru alami dan nak kongsikan. Sekarang abang tengah tengok Senel (Arsenal) main lawan West Ham United. Harap-haraplah senel menang malam ini. 

Tiba-tiba abang dapat call pula masa tengah tengok senal main ni. Ada orang nak turun fund dan jadi funder untuk projek barang basah abang lebih kurang RM100,000. Allahu, maka pertolongan Allah pun berterusan tanpa henti bagi hamba-hambaNya yang sentiasa berdoa dan bergantung harap padaNya. 

Sebab tadi masa salam kaut budak itu, abang pun ada minta dengan Allah juga. Macam biasa, amalan abang setiap kali sedekah abang akan niat:

"Ya Allah, sahaja aku bersedekah kepada hambaMu ini. Kau padamkanlah api kemurkaanMU pada ku. Kau permudahlah setiap urusanku sepertimana aku permudhakan urusannya. Kurniakanlah aku rezeki seperti air yang mengalir deras dan tidak berhenti-henti." 

Mulanya abang malas nak up cerita ini sebab tahu ada pembaris dan haters abang akan nampak dan tuduh abang nak menunjuk-nunjuk bab sedekah serta kononnya abang ni banyak duit. 

Tetapi disebabkan banyak sangat magik yang berlaku dalam satu kejadian ini, abang tak nak pedulilah dengan benda-benda negatif. Niat abang nak sampaikan dakwah dengan cara abang iaitu menulis apa yang berlaku dalam hidup abang, hasil amalan-amalan kecik yang abang buat. Selamat beramal.

No comments