Berang ditinggalkan, lelaki belasah kucing peliharaan bekas kekasih sampai hilang nyawa


Selepas ditinggalkan teman wanitanya tiga tahun lalu, lelaki ini mengambil keputusan untuk membalas dendam dengan membunuh kucing kesayangan wanita itu dengan kejam, lapor Shanghaiist.

Lebih teruk lagi, lelaki itu turut merakam pembunuhan itu yang kemudian dihantar kepada bekas teman wanitanya. 

Difahamkan, Bian sebelum ini tinggal bersama teman wanitanya yang dikenali sebagai Yao di sebuah pangsapuri di Shenyang, yang dibayar oleh Yao. 

Bagaimanapun, pasangan itu kemudian berpisah kerana keluarga Yao menolak perhubungan anak mereka bersama Bian. 

Setelah itu, Yao memindahkan barang-barangnya keluar dari kediaman itu dan merancang untuk kembali lagi pada keesokan hari untuk mengambil kucingnya. 

Malangnya pada malam kejadian, Bian berada dalam keadaan mabuk dan mengancam untuk membunuh kucing baka American Shorthair yang dibeli dengan harga 2,000 yuan, sekiranya Yao tidak kembali ke rumah itu dalam masa terdekat. 

Pada keesokan harinya, Yao berjanji akan berada di pangsapuri itu pada jam 11 pagi. Namun, Bian yang hilang kesabaran untuk menunggu, telah bertindak membunuh haiwan itu. 

Jam 10 pagi, Bian menghantar video pembunuhan kucing itu kepada Yao. Video itu menunjukkan Yao mencekik kucing itu dengan kain. 

"Saya pernah cari sesuatu yang keras, keyboard ini mungkin cukup keras," katanya sebelum menghentak kucing itu pada papan kekunci komputer sebanyak beberapa kali. 

"Jika ia tidak mati, saya akan tikam dadanya," kata Bian lagi yang mengambil pisau dapur kemudian menikam dada kucing itu dan merakam luka tikaman pada bangkai kucing itu dengan dekat. 

Di penghujung video, kucing itu dilihat sudah tidak bernyawa dan berlumuran darah. 

Apabila Yao kembali ke pangsapuri itu, dia menemui bangkai kucingnya disumbat dalam kotak. 

Video kekejaman Bian itu viral di media sosial China sejak hujung minggu lalu menyebabkan warga netizen di seluruh dunia berang dan mula menyiasat identiti lelaki itu. 

Pada malam hari yang sama, Bian kemudian dibelasah orang ramai dipercayai golongan pencinta haiwan yang berang dengan tindakannya itu. 

Bian mendakwa beberapa jarinya telah dipatahkan kumpulan berkenaan dan menuntut pampasan 20,000 yuan. 

Sementara itu, Yao membuat laporan polis terhadap Bian, selepas menerima video pembunuhan itu. 

Bagaimanapun, Yao enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas teman lelakinya itu dan bercadang mahu menyelesaikan masalah itu secara aman dan tertutup. 

No comments