BN janjikan pendidikan awal percuma & laptop untuk pelajar golongan B40
Foto The Star |
Barisan Nasional (BN) berjanji akan menyediakan sistem asuhan dan pendidikan awal nasional secara percuma kepada semua kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, sekiranya memenangi Pilihan Raya Utama Ke 15 (PRU15).
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya perkara itu dilaksanakan, Malaysia akan mempunyai sistem pendidikan awal dan asuhan percuma universal di seluruh negara, dan bukan lagi bergantung kepada budi bicara atau tahap kemampuan ibu bapa.
"Selain sistem sekolah rendah dan menengah, selepas ini Malaysia akan turut mempunyai sistem pendidikan awal dan asuhan percuma di seluruh negara.
"Ia tidak lagi bersifat serpihan-serpihan atau bergantung kepada budi bicara atau tahap kemampuan ibu bapa. Sebaliknya, ia akan diwujudkan sebagai sebuah sistem universal yang tersedia untuk semua di seluruh negara.
"Perubahan sistem yang radikal ini bukan sahaja akan mengurangkan sebahagian besar kos penjagaan dan pendidikan kanak-kanak di seluruh negara tetapi menjadi bukti komitmen dan pelaburan besar negara dalam memastikan asuhan dan pendidikan awal dilakukan dengan cara terbaik," katanya semasa pelancaran manifesto BN yang bertemakan Pelan Amal dan Usaha atau PADU, semalam.
Manifesto itu juga menjanjikan, agenda pendigitalan pendidikan serta pendidikan tinggi akan diperkasakan dan dilaksanakan secara besar-besaran.
"BN akan memperkenalkan Sistem Persekolahan Tanpa Buku Teks yang akan menyaksikan pembelajaran berlangsung menggunakan laptop atau komputer riba. Untuk itu, dua inisiatif besar BN untuk perkara ini adalah memberi komputer riba percuma kepada semua pelajar B40 dan memastikan 100 peratus liputan Internet 5G di semua sekolah dalam masa 18 bulan.
"Perkara ini akan membantu menyelesaikan isu-isu seperrti beg sekolah yang berat serta membolehkan kemas kini sukatan pelajaran dilakukan dengan lebih pantas dan mudah.
'Pada peringkatan pengajian tinggi pula, BN akan memberikan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak dalam kalangan B40. Ini adalah sebahagian usaha serius kita untuk membasmi kemiskinan secara strategik, adil dan bersifat jangka panjang.
"Selain pengajian tinggi tanpa yuran kepada semua individu dari kelompak B40, universiti awam di negara akan menawarkan sistem pengajian anjal, iaitu 50 peratus pengajian di kampus dan 50 peratus lagi secara dalam talian atau jarak jauh, yang akan sekali gus mengurangkan sehingga separuh kos pengajian," katanya.
Sumber: Astro Awani
Post a Comment