Mulai hari ini, Chef Ammar hanya jual 4 pek nasi Arab Lank Shank kepada setiap pelanggan
Tular di media sosial sebelum ini, Chef Ammar dikecam kerana menjual menu nasi Arab Lamb Shank dengan 'Harga Yahudi'. Kecaman itu membuatkan chef berkenaan tampil memberi penjelasan bahawa orang ramai hanya tahu mengecam tanpa mengetahui proses membuat menu itu sukar, selain bahan mentah juga mengalami kenaikan harga.
Terbaru, Chef Ammar kembali tular susulan video menunjukkan seorang pelanggan membuat teguran berhubung pelanggan terpaksa beratur panjang tetapi tidak berpeluang membeli makanan tersebut ekoran telah 'dibolot' pelanggan lain yang membeli dalam jumlah yang banyak.
"Lebih 10 tak boleh, you kena bagi peluang dekat pelanggan yang lain juga," kata pelanggan terbabit.
Hal itu membuatkan Chef Ammar terpaksa mengambil keputusan untuk mengehadkan penjualan kepada setiap pelanggannya demi memberi peluang kepada yang lain untuk merasa menu popularnya itu.
Bermula Rabu, Chef Ammar menetapkan, setiap pelanggan hanya dibenarkan membeli maksimum empat set sahaja, berbanding sebelum ini pelanggan dibenarkan membeli tanpa had.
"Sekarang semua yang datang nak beli sampai 15, 20, 25 pek. Saya faham ada yang beli untuk rakan satu tempat kerja, satu keluarga. Jadi, seperti yang dibangkitkan, orang yang beratur di belakang tak dapat.
"Kami juga telah bercakap dengan pihak yang berwajib mengenai isu ini dan mereka memberi pandangan dan nasihat yang menurut mereka pelanggan tidak boleh menyalahkan saya kerana perkara ini di luar kawalan saya.
"Jadi, mereka berkata terpulanglah kepada pihak saya untuk membuat satu ketetapan atau solusi. Jadi, mulai Rabu, setiap individu dihadkan untuk membeli dua pek kambing dan dua pek ayam iaitu maksimum empat pek.
"Ini peraturan dari kami demi berlaku adil kepada pelanggan," katanya memetik laporan dari mStar Online.
Ada suara yang meminta pihaknya memasak lebih berikutan ramai pelanggan yang tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati menu popularnya itu. Bagaimanapun Chef Ammar menjelaskan, pihaknya telah menetapkan had pengeluaran untuk setiap hari.
"Kami tak boleh call kilang, minta masak lagi dan hantar ke bazar. Ini bukan kedai makan seperti KFC atau McDonald's. Kami tak tahu bilangan pelanggan yang datang setiap hari.
"Tak syoklah kerana kita nak orang lihat makanan dan skil kita secara live. Keduanya, kami kena maintain kualiti makanan. Ketiga, kami juga ada staf di mana mereka juga letih, nak berbuka puasa, nak solat.
"Takkan sepanjang petang hingga malam kita nak duduk di bazar sahaja? Kita kena buat closing, proses bahan untuk esok pula. Semua perkara 'di belakang' pelanggan tak nampak," jelasnya.
Selain itu, Chef Ammar juga pernah mengambil inisiatif untuk menyediakan lorong ekspress khususnya bagi golongan ibu hamil dan warga emas, termasuk menyediakan dua kaunter bayaran agar urusan pembayaran dilakukan dengan lebih cepat.
Namun, ada sesetengah pelanggan yang gemar mengambil kesempatan, enggan memberi kerjasama, tidak bersedia membuat pilihan membuatkan perkara itu sukar direalisasikan.
Walau bagaimanapun, Chef Ammar menghargai sokongan dari para pelanggan terhadap perniagaannya dan akan terus mencuba memberi kualiti dan perkhidmatan yang terbaik untuk semua.
Sumber: mStar Online
Post a Comment