'Ini makanan untuk siapa, Ayam? Kerajaan takde bajet ke?' - Kantin hidang makanan RMT sekadar nasi putih & kuah cair
Tular di media sosial semalam perkongsian seorang wanita mengenai makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang diberikan pihak kantin di sekolahnya yang mengundang banyak persoalan netizen.
Menurut Zurina Hassan, cucu saudaranya membawa balik makanan RMT itu dan apa yang mengejutkan, hanya nasi putih bercampur dengan kuah sahaja yang diberikan kepada murid.
"Cucu saudara bawa balik dekat mak dia makanan RMT. Sadis betul, makanan apa yang diberi untuk budak-budak dekat sekolah? Adakah peruntukan RMT terlalu sedikit sampai pengusaha kantin beri makanan begini kepada budak-budak?
"Sebelum ini budak-budak mengadu makanan RMT tidak sedap. Kita pun beritahu kena bersyukur sebab masih ada makanan. Tetapi, ini makanan untuk siapa? Ayam?
"Tidak tahu salah siapa dalam hal begini. Tetapi saya rasa perlu disiasat kenapa diberi makanan seperti ini kepada penerima RMT. Sudahlah senarai penerima RMT wajib sekolah hari-hari tanpa penggiliran. Makanan begini yang dikatakan 'mampu memacu pendidikan kita?'.
"Bukan hendak menyalahkan kantin sepenuhnya. Bajet rendah, kementerian harus beri bajet baru supaya tiada pihak tertekan. Pihak kantin gembira, anak-anak makan dengan senang hati," katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin mengambil maklum mengenai posting tular tersebut dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sekolah yang terlibat.
"Saya memandang serius dakwaan tersebut dan telah mengarahkan supaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenal pasti sekolah yang terlibat.
"Kementerian Pendidikan Malaysia tidak berkompromi dalam hal yang melibatkan kebajikan murid," katanya.
Sumber: Facebook Zurina Hassan, Bernama
Post a Comment