Suami isteri maut kemalangan, 2 anak yatim piatu sekelip mata
Sepasang suami isteri dilaporkan maut dalam kemalangan di Kilometer 181, Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) dalam kejadian yang berlaku pada jam 3.20 petang Sabtu, 11 Disember 2021.
Mangsa yang juga anggota tentera, Mohammad Anas Awang, 32, dan isterinya, Siti Hafissah Zamri, 34, maut di lokasi kejadian menyebabkan dua anak pasangan itu menjadi yatim piatu sekelip mata.
Dua beradik (lelaki dan perempuan) berusia lapan dan enam tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat dari orang awam yang memaklumkan berlaku kemalangan melibatkan kereta jenis Mazda RX8 dan Perodua Kancil.
Difahamkan, kereta Mazda RX8 yang dinaiki sebuah keluarga dari arah Pulau Pinang menghala ke Taiping, dipandu di lorong kanan. Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jalan sebelum terlanggar Perodua Kancil yang dipandu di lorong kiri.
Akibat dari kemalangan itu, pemandu kereta tercampak ke atas jalan raya dan maut serta-merta di lokasi kejadian. Penumpang hadapan juga disahkan meninggal dunia dalam kenderaan.
"Dalam kemalangan ini, dua kanak-kanak dan dua wanita yang merupakan pemandu dan penumpang kereta Perodua Kancil berusia 26 dan 65 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Sinar Harian
Post a Comment