'Dia tak dapat bermain, menangis atau demam, mukanya akan bertukar kebiruan' - Bayi hidap jantung berlubang, pasangan rayu dana RM13,000 untuk tanggung kos pembedahan


Sepasang suami isteri terpaksa mengandakan usaha mencari pendapatan bagi menanggung kos pembedahan anak perempuan mereka yang disahkan menghidap jantung berlubang sejak lahir. 


Pasangan Alif Luqman Azizan, 30, dan isterinya, Nuridayu Kamarudin, 31, dikurniakan cahaya mata, Nur Aina Rizqin Alif Luqman yang kini berusia 18 bulan. Mereka sekeluarga pada waktu ini menumpang di rumah ibu Nuridayu di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, Melaka. 


Difahamkan, kos pembedahan Nur Aina berjumlah RM20,000 dan pihak Hospital Serdang memberi pasangan itu tempoh selama tiga bulan sejak Oktober lalu untuk menyediakan dana tersebut. 


Dalam tempoh itu, Alif Luqman hanya menjual air balang dan bekerja di kedai makan dengan pendapatan RM40 hingga RM50 sehari. Sementara itu, Nuridayu yang menghidap sakit buah pinggang kronik dan asma juga mengambil tempahan acar buah untuk membantu mengumpul dana. 


Setakat ini, mereka berjaya mengumpul RM7,000 sahaja. Pasangan itu kini buntu memikirkan cara untuk mencari baki RM13,000 dan bimbang jika pihak Hospital Serdang menghubungi mereka untuk menggesa melakukan pembedahan tersebut. 


"Kami bimbang bulan Disember ini, pihak hospital akan menghubungi kami untuk pembedahan anak kami yang perlu dilakukan secepat mungkin. Bagaimanapun, dana yang diperlukan belum cukup dan harap orang ramai dapat membantu agar anak kami berpeluang menikmati kehidupan seperti anak-anak lain," katanya. 


Pada awal kelahiran, Nur Aina disahkan menghidap jantung berlubang dan ketika itu terdapat dua lubang. Ketika berusia empat bulan, salah satu lubang telah tertutup sendiri dan doktor memaklumkan lubang yang ada dikhuatiri akan turut membesar mengikut pembesaran anaknya. 


Keadaan itu juga menyebabkan si kecil itu tidak boleh bermain terlalu penat, menangis atau demam kerana bahagian dada dan mukanya akan bertukar kebiruan. 


Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank RHB milik Nuridayu 15408600027033.


Sumber: Sinar Harian

No comments