'Tiba-tiba keluar dari pagar rumah' - Budak main basikal, maut dilanggar kereta
Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut akibat dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 3 petang Isnin, di Jalan Delima, Kampung Cacar Baru Paka, Dungun, mangsa, Nur Aira Awatif Mohammad Fadzil, cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, mangsa sebelum itu bermain basikal di kawasan rumahnya bersama dengan dua lagi rakannya berusia 8 dan 7 tahun.
Kemudian datang sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh lelaki berusia 59 tahun yang menjalankan perniagaan durian di jalan besar tidak jauh dari kampung itu, dalam perjalanan ke sebuah surau untuk menunaikan solat Zohor.
Mangsa dikatakan secara tiba-tiba keluar dari pagar rumahnya membuatkan pemandu itu terkejut dan gagal mengelak lalu melanggar mangsa.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Paka, tetapi disahkan telah meninggal dunia.
Mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan telah dituntut oleh keluarganya untuk urusan pengebumian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment