Bengang handphone dirampas, anak tembak kepala ibu yang sedang tidur


Seorang remaja lelaki mengaku membunuh ibunya dengan menembak kepala mangsa selepas bertengkar telefon bimbitnya dirampas. 


Pada malam 20 April 2020, Shawn Willis, 18, dari Anderson County, Tennesse menyelinap masuk ke dalam bilik ibunya, Sandy Willis, yang ketika itu sedang tidur, lalu mengambil pistol yang diletakkan dalam meja kecil di sebelah katil. 


Shawn kemudian turun ke tingkat bawah untuk mengisi peluru bagi mengelakkan perbuatannya disedari sebelum segera kembali ke bilik ibunya. Shawn terus melepaskan dua das tembakan di kepala mangsa dari jarak dekat. 


Shawn didakwa sebagai orang dewasa selepas rekod mahkamah juvana yang baru dikeluarkan menunjukkan dia mengaku melakukan pembunuhan itu dan memberitahu penyiasat bahawa dia bertindak sedemikian kerana bengang telefon bimbitnya dirampas oleh mangsa. 


"Bukti akan menunjukkan bahawa tertuduh marah terhadap ibunya, Sandy Willis, kerana menghukumnya dengan merampas telefon bimbit darinya. Tertuduh kemudian menghubungi teman wanitanya dan memaklumkan ibunya berada di bilik tidur dengan kesan darah padanya. 


"Bapa teman wanitanya datang dan memeriksa keadaan Sandy yang didapati sudah tidak bernyawa. Tertuduh memberi banyak keterangan yang bercanggahan dengan apa yang berlaku. Tetapi selepas beberapa minggu disiasat oleh detektif, tertuduh mengaku telah menembak ibunya di kepala ketika dia sedang tidur". 


Tertuduh yang kini berusia 18 tahun itu ditahan di Rocky Top, Tennesse dengan wang jaminan $1,000,000. Mahkamah menetapkan 3 Disember 2021 untuk perbicaraan semula. 


Terdapat beberapa kes kanak-kanak bertindak membunuh ibu bapa mereka kerana merampas telefon bimbit mereka. Pada tahun 2019, seorang wanita berusia 32 tahun dibunuh oleh dua anaknya berusia 14 dan 12 tahun yang bengang telefon bimbit mereka dirampas. Mayat mangsa ditemui dengan beberapa kesan tikaman dan tembakan di dada. 


Sumber: Daily Star

No comments