Aktiviti PdP secara online dilaksanakan sehingga 31 Disember 2020


Semua aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember ini dan aktiviti PdP secara bersemuka tidak dibenarkan, demikian menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Namun, KPT memberikan pengecualian kepada lima kategori pelajar berkeperluan untuk pulang ke kampus secara berperingkat bagi melaksanakan PdP.

Kebenaran serta-merta itu diberikan kepada pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) untuk menyambung penyelidikan dengan kadar segera.

"Kelonggaran ini hanya dibenarkan kepada pelajar yang berkeperluan hadir secara fizikal ke makmal, bengkel, studio reka bentuk atau memerlukan peralatan khusus bagi menjalankan penyelidikan," menurut KPT dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi pelajar semester atau tahun akhir pengajian peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang perlu melaksanakan kerja klinikal, latih amal, makmal, bengkel, studio reka bentuk, praktikal atau yang memerlukan peralatan khusus, mereka dibenarkan untuk melaksanakan PdP di kampus seawal 1 Julai ini, jelas KPT.

KPT juga memaklumkan bagi pelajar semester atau tahun akhir yang tidak mempunyai akses serta persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian, mereka dibenarkan pulang ke kampus seawal 1 Julai ini, dan menggunakan infrastruktur di kampus bagi PdP secara dalam talian, katanya.

Bagi pelajar berkeperluan khas yang mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Politeknik dan Kolej Komuniti yang perlu mendapat bimbingan secara bersemuka bagi melaksanakan PdP kerana masalah pembelajaran adalah dibenarkan pulang seawal 1 Ogos 2020.

Mengenai pelajar baharu bagi sesi akademik 2020/2021 di semua UA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti bagi kemasukan ke peringkat Sijil, Asasi dan Diploma untuk lepasan SPM serta kemasukan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi lepasan STPM/setaraf, kemasukan mereka adalah secara berperingkat, jelasnya.

Menurut KPT, kemasukan bagi pelajar Sijil dan Diploma Politeknik serta Kolej Komuniti adalah seawal 1 Julai 2020.

Kemasukan pelajar Asasi, Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di IPTS pula seawal 1 Julai 2020; manakala kemasukan pelajar Asasi dan Diploma di UA seawal 1 Ogos 2020, maklumnya.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah mod penyelidikan di UA dan IPTS pula adalah seawal 1 Oktober ini.

Menurut KPT, pelaksanaan aktiviti akademik di kampus perlu mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan serta penjarakan sosial.

"Penetapan ini adalah tertakluk kepada arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa," katanya.

Sumber: Bernama

No comments